Perubahan pengundi Melayu loceng amaran, kata Umno
Kejatuhan Terengganu di tangan PAS pada pilihan raya umum 1999 dan sikap pengundi kini yang tidak memihak kepada Umno, ketika pilihan raya kecil Lunas dan Telok Kemang, harus dianggap sebagai "loceng amaran."
"Pola pengundian terutama dari kalangan pengundi Melayu diambil sebagai loceng amaran, membangunkan kita (Umno) daripada lena mimpi yang diulik terlalu lama oleh lagu kemenangan," kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengingatkan lebih 1,300 perwakilan Pemuda dan Wanita hari ini.
"Meskipun Barisan Nasional dapat mempertahankan kerusi parlimen di Telok Kemang, majoriti kita telah merosot, sementara Barisan Nasional tewas di kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri di Lunas."
"(Keputusan 1999 dan pilihan raya kecil itu) sepatutnya memberikan cukup pengajaran menginsafkan kita akan betapa perlunya diperbetulkan imej Umno," katanya lagi ketika merasmikan mesyuarat agung dua pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi tadi.
Bagaimanapun, Abdullah berkata pemilihan peringkat cawangan dan bahagian Mac dan April lalu tidak menunjukkan partiitu mengambil pengajaran serius daripada kemerosotan undi itu.
"Peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara ahli-ahli parti hingga ada yang sampai ke tahap memalukan, menunjukkan bahawa peringatan dan nasihat Presiden dan para pemimpin oparti tidak dihayati sepenuhnya," katanya. "Tertumpahlah segala peringatan dan nasihat bagaikan air yang jatuh ke daun keladi."
Tambahnya, Majlis Tertinggi dan jawatankuasa pengurusan Umno kini terlalu banyak menghabiskan masa untuk membincang kejadian yang timbul di peringkat cawangan dan bahagian.
Berpaksikan kabilah masing-masing
"Fikiran yang sepatutnya ditumpukan bagi menghadapi isu-isu lebih utama untuk kepentingan agama, negara dan bangsa beralih kepada masalah-masalah yang dicetuskan oleh ahli-ahli parti," katanya, dalam ucapan bertemakan 'Memperteguhkan Perpaduan, Menggerakkan Perubahan'.
Abdullah mengkritik ahli-ahli parti itu yang memperalatkan jawatan sebagai landasan untuk mendapat imbuhan kebendaan.
"Masanya telah sampai untuk dipisahkan jawatan politik dengan kepentingan perniagaan. Jika kita tidak bertindak tegas, dikhuatiri pengaruh Umno akan terhakis lalu parti menjadi lemah, perjuangan bangsa hilang wawasan dan masa hadapan negara menjadi kabur," katanya.
Abdullah menyebutkan "jumlah besar ahli Umno tidak memberi makna jika ahli parti bagaikan organisasi yang berpaksikan kabilah (puak) masing-masing".
"Bayangkan betapa perkasanya parti jika seluruh sumber, tenaga, masa dan fikiran, dengan pelbagai muslihat dan helah yang digunakan dalam keghairahan berebut jawatan, dapat digabungkan untuk menghadapi lawan Umno yang sebenar," katanya lagi.
"Saya yakin jika seluruh kegiatan parti dapat diuruskan untuk menghadapi lawan Umno, tidak ada parti politik lain yang dapat menyaingi kekuatan kita."
Dalam ucapan perasmiannya tahun lalu, katanya, beliau telah mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak "terlalu sibuk berebut senduk, hinggakan nasi tumpah ke tanah" dan berwaspada corak pengundian pada pilihan raya 1999.
Beliau membayangkan kesukaran untuk merebut semula kuasa di Terengganu selepas tewas kepada PAS, dan gagal bertapak semula di Kelantan. "Begitu rumit mengembalikan kuasa apabila terlepas ke tangan (parti) yang lain."
Liputan perhimpunan agung Umno

