Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kebajikan pesara tentera jadi agenda Rafizi sebelum ke penjara
Diterbitkan:  Sep 2, 2016 6:27 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, kebajikan pesara tentera akan menjadi agenda utamanya menjelang beberapa bulan akan datang sebelum kemungkinan dirinya dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi untuk membela diri atas tuduhan membocorkan dokumen sulit berkaitan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Oleh kerana saya juga sedar saya mungkin mempunyai masa beberapa bulan sahaja lagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara, saya telah umumkan bahawa hal ehwal kebajikan pesara tentera adalah antara agenda utama saya.

“Saya akan melawat setiap kem tentera yang besar di seluruh Malaysia dan akan memenuhi jemputan kumpulan-kumpulan pesara tentera yang menjemput saya berdialog dengan mereka melalui program yang diberi nama Hargai Perajurit: Misi Angkat Kebajikan Perajurit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dialog pertama akan diadakan di Setiawangsa iaitu berdekatan kem tentera utama di Lembah Klang pada 7 September ini dan diikuti dengan acara yang sama di Lumut, Butterworth, Kuantan, Telok Kemang dan beberapa lokasi lain.

Rafizi, yang juga adalah naib presiden PKR, telah beberapa kali membangkitkan isu kelewatan pembayaran oleh LTAT kepada pesara tentera.

Katanya, beliau terus menerima aduan seumpama itu setakat ini sedangkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak pernah memberi maklumbalas mengenai masalah yang ditimbulkanya.

“Terbaru, saya akan mengemukakan 95 lagi senarai pesara-pesara yang belum menerima bayaran caruman mereka kepada LTAT dan UGAT untuk diselesaikan segera kerana mereka telah menunggu lama untuk mendapatkan hak mereka,” katanya.

Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan berdepan dengan dua pertuduhan menmgikut OSA kerana didakwa mendedahkan dokumen sulit di lobi Parlimen pada 24 Mac.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) akta itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika didapati bersalah.

Rafizi juga didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iv) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun maksimum jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS