Kita perlu keras terhadap PAS: wakil Umno
Seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Mohd Zin Omar, hari ini mengajak perwakilan perhimpunan agung parti itu agar bersikap "keras" terhadap PAS seperti kritikan Presidennya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
"(Ucapan Presiden itu) begitu keras terhadap PAS, (oleh itu) mengajak kita juga keras, berani (menghadapi PAS)," katanya lagi, ketika membahaskan ucapan dasar presiden yang dibentangkan pagi tadi.
"Kita sudah sampai kepada tahap takut, kita tidak berani berdepan dengan PAS. Ini bukti kita dalam keadaan kegelapan."
Mohd Zin berkata lagi, Pemuda dan Wanita Umno kelihatan bersedia menentang apa sahaja tetapi parti itu "hanya bercakap dan bercakap" dan "masih belum kuat".
Dalam ucapan bertema 'Melayu Mudah Lupa', Dr Mahathir antaranya mengecam PAS memperalatkan pusat pendidikan kanak-kanak untuk menanam perasaan benci terhadap Umno, mendakwa parti pembangkang itu sanggup "menjual-beli" kepentingan Melayu dan hanya menggalakkan generasi muda mempelajari ilmu agama.
"Bagi PAS ilmu tidak penting. Agama juga tidak penting. Yang penting hanyalah kemenangan PAS dalam pilihan raya," kata Presiden Umno dalam ucapannya selama dua jam.
Sementara seorang perwakilan Selangor, Mufti Syuib pula berhujah orang Melayu tidak melupakan jasa tetapi "kita (Umno) sendiri lupa diri."
Tambahnya PAS tidak pernah mempertikaikan pembangunan yang diusahakan oleh pemimpin-pemimpin Umno. "Kita kalah kerana perangai kita sudah mulai busuk. Ini perlu kita perbetulkan dahulu," katanya lagi.
'Melukut di tepi gantang'
Wakil Sabah, Bung Moktar Radin, pula berkata orang Melayu kini melihat Umno "tidak mesra Melayu" dan parti itu tidak relevan untuk bercakap mengenai perjuangan kaum itu.
Beliau berkata jasa-jasa pengorbanan parti itu dinafikan orang Melayu sendiri dan ia kini diibaratkan seperti "melukut di tepi gantang".
Bung bagaimanapun berpendapat tiada sesiapa yang patut dipersalahkan dan mengajak ahli Umno menyelesaikan persoalan "kenapa orang Melayu sendiri semakin benci kepada Umno."
Perwakilan-perwakilan hari ini rata-ratanya menyokong pembentukan lembaga disiplin untuk membanteras politik wang dalam parti itu.
Mereka bagaimanapun berpesan penguatkuasaan perkara tersebut perlu berhati-hati "ibarat menarik rambut di dalam tepung."
Perwakilan turut mencadangkan, selain pemberi rasuah, penerima wang sogokan juga perlu dikenakan tindakan.
Lebih 2,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung Umno daripada 165 bahagian di seluruh negara. Sidang empat hari itu akan berakhir Sabtu.

