Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN l Adakah Malaysia sudah menjadi negara polis apabila pihak polis tidak boleh ditegur sehingga Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan angkuhnya memberi amaran kepada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, supaya tutup mulut hanya kerana bertanya mengapa siasatan lambat dibuat?

Tindakan IGP memberi amaran terhadap Teo, semata-mata kerana wakil rakyat tersebut mendesak polis menjalankan siasatan segera berhubung satu dakwaan ugutan terhadap pemimpin BERSIH 2.0, membuktikan kebebasan bersuara yang sudah pun terhad di Malaysia kini semakin terhakis.

Teo hanya menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen yang menuntut keadilan dilaksanakan berikutan ugutan oleh ketua kumpulan Baju Merah, Mohd Ali Baharom yang mengancam nyawa Pengerusi BERSIH 2.0. Maria Chin Abdullah.

Teo membuat kenyataan beliau kerana mendapati pihak polis belum berbuat apa-apa selepas ugutan tersebut dibuat secara terbuka.

Semata-mata menyuarakan pandangannya, Teo diberi amaran keras agar tidak mencampuri urusan polis serta tidak mempolitikkan isu tersebut.

Saya tidak faham apa yang tidak boleh dicampuri dan apa yang dikatakan dipolitikkan.

Jenayah depan mata

Ahli parlimen adalah wakil kepada rakyat dan beliau berhak bersuara. Apakah ahli parlimen hanya perlu membisu apabila melihat ugutan, ancaman dan hal-hal jenayah berlaku di depan mata?

Begitu juga dengan kes ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi, yang terlibat dalam isu tweet tentang kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din. Saya sendiri telah membuat teguran terhadap tweet Jeff Ooi sebagai tidak sensitif dan melahirkan perassan kesal kepada keluarga Allahyarham.

Namun, apabila IGP mengeluarkan kenyataan bahawa Ooi “mulut gatal” dan menuntut agar Jeff Ooi menyerah diri atau menghadapi tindakan polis, ia menggambarkan seolah-olah berlaku jenayah besar.

Apakah tweet yang “tidak sensitif” atau seorang yang “mulut gatal” sudah menjadi jenayah besar di Malaysia?

IGP juga dilaporkan mengatakan bahawa Ooi akan disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan sesuatu yang menimbulkan kebencian atau berniat jahat untuk menjejaskan keharmonian.

Di samping itu, tindakan oleh IGP bersifat double-standard.

Persoalannya, mengapa tindakan polis dan layanan yang sama tidak dikenakan terhadap ahli parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad?

Apa yang Nawawi lakukan jauh lebih teruk. Nawawi telah mengaitkan identiti “Malaysian Official 1” atau MO1 yang dituduh terlibat dalam pencurian dana 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), dengan Yang di-Pertuan Agong.

Tweet: Allah matikan Karpal

Yang di-Pertuan Agong adalah Raja dan Ketua Negara Malaysia yang tidak boleh dihina, dituduh atau dipermain-mainkan. Ia adalah jaminan Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi martabat dan peranan Seri Paduka telah dihina sebagai MO1 yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Skandal 1MDB terjijik yang mencuri wang rakyat Malaysia sehingga kerajaan Amerika Syarikat ingin merampas aset AS$1 billion milikan pegawai 1MDB. Namun, tiada sebarang tindakan terhadap ahli parlimen Umno itu yang lebih teruk daripada “mulut gatal”!

Bukankah ini pilih kasih atau double standard?

Malah, apabila pemimpin DAP, Karpal Singh, meninggal dunia pada April 2014, bekas pemimpin PERKASA, Datuk Zulkifli Noordin telah menulis tweet: “Dalam keadaan kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan Umno, Allah telah matikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya!”

Tetapi tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap penulis tweet tersebut. Inilah yang menjadikan pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia semakin tidak adil kerana berlakunya double standard yang jelas lagi terang.


LIM GUAN ENG adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan

Lihat Komen
ADS