Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota Parlimen Batu Tian Chua didapati bersalah menghasut oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Tian Chua didakwa melakukan kesalahan itu tiga tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan dalam keputusannya berkata naib presiden PKR itu disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

"Melihat kepada fakta kes saya berpuas hati tertuduh telah mengeluarkan kenyataan berniat menghasut," katanya.

Zulqarnain juga secara khusus merujuk perkataan "bangkit" dan "turun ke jalan raya" diucap Tian pada sebuah forum bersifat menghasut.

Selepas beberapa perbincangan, hakim memutuskan Tian dipenjara tiga bulan dan denda RM1,800.

Bagaimanapun pelaksanaan hukuman itu dibenarkan ditangguh sementara pihak peguam bela membuat rayuan.

Melalui peruntukan undang-undang Tian - atau nama sebenarnya Chua Tian Chang - boleh dikenakan denda maksium RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tian akan hilang kelayakan sebagai anggota parlimen jika didenda lebih daripada RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Sabitan dan hukuman begitu juga akan menghilangkan kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Peguam N Surendran dan Latheefa Koya berkata mereka akan membuat rayuan kerana percaya Tian tidak sepatutnya disabitkan kesalahan.

Surendran bagaimanapun menyatakan jika rayuan itu ditolak dan Tian menjalani hukuman, kedudukannya sebagai anggota parlimen tidak terjejas.

Sementara itu Tian berkata pihak berkuasa tersilap apabila menyangka rakyat akan berdiam diri dengan ancaman Akta Hasutan yang dianggapnya "undang-undang yang tidak adil".

"Kami adalah wakil kepada rakyat dan pemimpin pembangkang. Kami perlu menerima keadaan ini sebahagian daripada risiko yang perlu dihadapi," katanya kepada media selepas penghakiman.

Tian didakwa membuat ucapan berkenaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor pada 13 Mei 2013.

Turut berucap di majlis itu Hishamudin Rais, Adam Adli, Safwan Anang, Datuk Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim yang turut didakwa mengikut akta sama.

Julia Ibrahim dan Jasmee Hameeza Jaafar bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS