Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'AMANAH hidup walau apa keputusan pilihan raya'
Diterbitkan:  Sep 28, 2016 4:24 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Biar apa pun pandangan, analisis dan jangkaan orang Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin mereka akan tetap berkembang maju dan tidak terpengaruh banyak dengan keputusan pilihan raya umum.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata walaupun baru berusia setahun jagung parti berkenaan mengalami kemajuan membanggakan.

Bulan ini kata Mohamad beberapa orang profesor, aktivis dan anggota pertubuhan bukan kerajaan menyertai AMANAH di Salor.

Salor adalah kawasan diwakili bekas exco kanan Kelantan dan naib presiden PAS Datuk Husam Musa. Beliau sendiri mengumumkan penyertaannya secara rasmi 31 Ogos lalu.

Kata Mohamad penyokong AMANAH tidak perlu berasa ragu melihat analisis sementara dibuat pelbagai pihak mengenai parti berkenaan.

"Ini kerana Parti AMANAH yang bersifat ideologi, kontemporari dan inklusif ini akan dapat bertahan dan terus berkembang walaupun apa keputusan pilihan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

AMANAH ditubuhkan selepas sebahagian besar pemimpin progresif dan sederhana dalam PAS disingkirkan perwakilan dalam mutamar mereka tahun lalu.

PAS kini dikuasai kumpulan proulama dengan sebahagiannya dilihat mengambil pendekatan konservatif.

AMANAH cepat berkembang

Perkembangan itu membawa kepada putusnya hubungan PAS dengan DAP selepas kedua-dua parti itu bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dengan PKR dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

DAP dan PKR kemudian membentu Pakatan Harapan bersama AMANAH, manakala PAS mempromosikan gerakan "politik matang dan sejahtera" bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA).

Pada 19 Julai lalu Malaysiakini menyiarkan pandangan penganalisis politik, Prof Madya Dr Abdul Muati Ahmad yang berpendapat parti baru yang muncul daripada serpihan parti berteraskan Melayu selalunya tidak boleh bertahan lama.

Antara contoh diambil Abdul Muati ialah Parti Negara dan Semangat 46.

Selain AMANAH sebuah lagi parti serpihan baru ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamad berkata pengalamannya mengembangkan PAS selama 38 tahun menambah keyakinannya terhadap potensi AMANAH.

"Saya melihat perkembangan AMANAH jauh lebih cepat diterima rakyat (berbanding PAS suatu ketika dulu) terutama di negeri sebelah selatan.

"Inilah kehendak dan tuntutan ummah sekarang ini sama ada dari orang Islam atau bukan Islam," katanya.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata perkembangan pantas AMANAH diyakini akan bertahan walau apa pun keputusan pilihan raya umum akan datang.

"AMANAH mahu kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang tetapi jika berlaku sebaliknya AMANAH akan tetap bertahan dan akan terus maju menjadi parti masa depan yang cemerlang," katanya.

Lihat Komen
ADS