Malaysiakini
BERITA

Hadi 'silap jalan' bawa usul pinda Akta 355?

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Okt 2016, 8:31 pagi

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, pindaan rang undang-undang 355 yang dicadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dibentangkan pada Majlis Raja-raja sebelum di bawa ke parlimen.

Menurut Tengku Razaleigh, perkara berkaitan rang undang-undang tersebut juga sepatutnya dibincangkan di peringkat negeri serta mendapat perkenan Majlis Raja-raja terlebih dulu.

"Tak layak bawa (usul berkenaan) masuk parlimen. Isunya ialah, parlimen bukan tempatnya.

"Ia patut dibawa ke peringkat negeri. Kalau tak, ia tak berpelembagaan (tidak mengikut kehendak perlembagaan) kerana (persoalan) agama ialah hak raja.

"Kalau hak raja, mesti dibawa ke peringkat negeri, runding dengan majlis agama Islam negeri dan raja sendiri.

"Ia mesti dibentang pada Majlis Raja-raja. Kalau dapat perkenan Majlis Raja-raja baru boleh dibawa ke peringkat ini (parlimen)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang persendirian yang akan dibawa anggota parlimen Marang yang juga Presiden PAS itu dijangka dibentangkan dalam tempoh terdekat berdasarkan kedudukan usul itu pada aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Diletakkan pada nombor keempat rang undang-undang mahu dibawa Abdul Hadi itu dijangka dibahaskan seawal hari ini atau esok.

Rang undang-undang berkenaan dibawa untuk untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355, bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.

Selain DAP beberapa parti komponen BN menyatakan bantahan mereka terhadap usul berkenaan.

Bagaimanapun pemimpin parti dalam BN mendakwa gabungan itu sudah mencapai persetujuan bersama berhubung usul berkenaan namun belum ada sesiapa memberi pencerahan mengenai butiran lanjut mengenainya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.