Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Apa yang kita tahu dan tidak tahu tentang kebakaran HSA?

Kerajaan mengarahkan siasatan penuh terhadap punca kebakaran terbaru di Hospital Sultanah Baru Johor Aminah (HSA) yang mengorbankan enam orang dan mencederakan 11 yang lain.

Bagaimanapun masih tiada jaminan bahawa tragedi seumpama itu tidak akan berulang atau dapat dicegah, lebih-lebih lagi dengan pemotongan Bajet 2017, termasuk peruntukan untuk kementerian kesihatan.

Berikut adalah apa yang kita tahu dan tidak tahu mengenai kejadian itu.

Apa yang kita tahu

1) Terdapat dua kebakaran berturut-turut pada 25 Oktober dan 26 Oktober

Kebakaran kecil berlaku di Unit Rawatan Rapi HSA pada pagi 25 Oktober.

Satu klip video dan gambar-gambar yang diperolehi Malaysiakini menunjukkan api di tingkat dua bangunan bersebelahan jabatan kecemasan dan trauma hospital.

Ia kemudian disahkan bahawa 10 kakitangan cedera, termasuk dua dimasukkan ke ICU di Hospital Sultan Ismail manakala seorang lagi dimasukkan ke Hospital Sultan Aminah.

Kebakaran kedua tercetus pada 26 Oktober di dewan bedah hospital hingga memaksa pemindahan lain dan mencederakan tiga jururawat.

2) Percikan api dari sistem pendawaian lama elektrik boleh menyebabkan kedua-dua kebakaran.

Dalam kejadian pertama, percikan api dilihat daripada wayar elektrik di dalam bilik rawatan ICU selatan.

Pagi esoknya, litar pintas berlaku pada soket elektrik yang menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan pemeriksaan penuh pendawaian elektrik di hospital itu. Soket elektrik dilaporkan basah akibat kerja-kerja pembersihan selepas kebarakan.

3) Terdapat sejarah kebakaran pada masa lalu di HSA tetapi tiada latihan kebakaran terbaru.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru pada 27 Oktober berkata terdapat kebakaran kecil berlaku di ICU hospital itu, kira-kira 10 hari sebelum kejadian terbaru.

The Star juga memetik sumber yang berkata bahawa lebih tujuh kebakaran berlaku di hospital itu sejak empat tahun yang lalu.

Dalam tempoh dua tahun lalu, bagaimanapun, ia mendedahkan bahawa tidak ada latihan kebakaran dijalankan di hospital itu.

4) Proses pemindahan terjejas.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ibrahim Omar, kebanyakan hospital mempunyai pasukan tindak balas pertama kecuali wad ICU, walaupun mengikut peraturan semua bangunan perlu mempunyai pasukan tindak balas pertama sendiri.

5) HSA memperoleh rating 'sederhana' dalam audit yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) empat tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Dosh Omar Mat Piah dilaporkan berkata bahawa audit terakhir, yang dijalankan pada tahun 2012 secara umum berkaitan dengan keselamatan hospital dan kesihatan.

Antara lain, pentadbiran hospital diperlukan untuk memastikan akses dengan tempat pemindahan, sekiranya berlaku kecemasan.

6) Perkhidmatan dan operasi Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA telah digantung buat sementara waktu dari 28 Oktober.

Jabatan itu yang merupakan sebahagian daripada bangunan utamanya, telah diarahkan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan keselamatan, termasuk pendawaian, struktur dan perkara-perkara berkaitan.

Kerja-kerja pembaikan yang akan dijalankan dijangka mengambil masa antara dua hingga empat minggu.

Dalam pada itu, pelbagai pihak tampil ke hadapan untuk menawarkan bantuan, termasuk hospital swasta yang menubuhkan tabung sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada HSA, di samping membantu dalam bentuk makanan, minuman dan barangan keperluan.

Antara hospital berkenaan adalah Hospital Pakar KPJ Johor dan Hospital Pakar KPJ Puteri.

7) Hospital kecemasan ditubuhkan di HSA.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 31 Oktober menubuhkan hospital medan di kawasan HSA, yang terdiri daripada lima unit modul hospital medan. Kemudahan itu akan beroperasi 24 jam setiap hari selama dua minggu dengan memberi tumpuan kepada kes-kes kecemasan.

Hospital medan boleh merawat 60 hingga 70 pesakit dan melaksanakan lima hingga enam pembedahan sehari.

Apa yang kita tidak tahu

1) Apakah punca sebenar kebakaran itu?

Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pasukan petugas pelbagai agensi yang ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kebakaran.

Spekulasi sebelum ini adalah berdasarkan pemerhatian sumber di lokasi dan siasatan awal Jabatan Penyelamat itu.

2) Apakah hasil siasatan Kementerian Kesihatan bahawa HSA tidak mempunyai sijil keselamatan kebakaran?

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam pada 28 Oktober berkata ia mungkin tidak perlu mendapatkan sijil kerana HSA dibuka pada tahun 1938 tetapi telah mengalami pelbagai proses menaik taraf.

Sejak tahun 1996, pengurusan kebakaran dan pencegahan yang menjadi sebahagian daripada perkhidmatan sokongan hospital diserahkan kepada sebuah syarikat swasta iaitu Medivest Sdn Bhd.

3) Siapa di belakang Medivest Sdn Bhd?

Kerajaan telah mengumumkan bahawa ia tidak akan menggantung kontrak Medivest kerana ia juga bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan sokongan di hospital-hospital lain di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Pada masa sama, persoalan timbul mengenai kontrak 15 tahun- meliputi 25 hospital- yang dikritik kerana dianugerahkan melalui tender yang kurang telus dan kompetitif.

Dilaporkan bahawa Medivest adalah salah satu daripada tiga syarikat yang mengemukakan tender untuk kontrak dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM10 bilion.

Ia juga dilpaorkan bahawa Medivest menerima pembaharuan konsesi 10 tahun sehingga 2022, menyebabkan pertanyaan lanjut mengenai kriteria pemilihan.

4) Berapa banyak dibelanjakan untuk kos mengekalkan HSA?

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya dilaporkan berkata bahawa kontrak konsesi yang diberikan kepada Medivest bernilai RM350 juta setahun.

Daripada jumlah itu, ia masih tidak jelas berapa banyak diperuntukkan khusus untuk penyelenggaraan HSA iaitu antara perkhidmatan lain yang disediakan.

Kerajaan di bawah Bajet 2017 juga telah memperuntukkan lebih RM2 bilion bagi perkhidmatan sokongan seperti itu.

5) Apakah penyelenggaraan Medivest dan rekod penilaian risiko untuk HSA?

Soalan ini telah dibangkitkan oleh beberapa ahli parlimen pembangkang yang menggesa kerajaan mengkaji semula kontrak yang telah diberikan.

6) Berapakah kerajaan perlu belanjakan untuk kerja pengubahsuaian utama di HSA?

Dalam mengetengahkan isu lif rosak di HSA, Malaysiakini pada Februari melaporkan bahawa kerajaan akan terpaksa menanggung kos menggantikan keseluruhan lif, manakala Medivest bertanggungjawab dalam penyelenggaraan dengan kerap.

Begitu juga dengan semua pembaikan kerosakan besar yang lain, termasuk kebakaran terkini. Ini menimbulkan persoalan keberkesanan dalam keseluruhan dasar menggunakan khidmat luar HSA, yang pada mulanya diperkenalkan untuk mengurangkan kos operasi kerajaan.

7) Bolehkah kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana untuk menaik taraf HSA?

8) Dalam pada itu, apakah langkah-langkah pencegahan yang telah diambil untuk mengelakkan risiko kebakaran yang lain?

Lihat Komen
ADS