Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwat kekal - SPR kata silap pilih nama
Diterbitkan:  Nov 2, 2016 11:42 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Kekeliruan mengenai penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya umum 2013 boleh dielakkan dengan jika istilah yang digunakan untuk bahan itu ditukar, kata pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Mungkin jika kita namakan ia sebagai dakwat pilihan raya, tak ada masalah.

"Istilah yang dipilih kami salah. Oleh sebab itu kami meminta maaf," kata pegawai Akademi Pilihan Raya SPR, Hasanul Isyraf Naim di program taklimat mengenai agensi itu malam tadi.

Majlis berkenaan diadakan di Akademi Kepimpinan Hussein di Petaling Jaya, Selangor dan dianjurkan oleh Sukarelawan Barisan Nasional (BNYV).

Ia turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Isu dakwat kekal menjadi perhatian ramai semasa PRU ke-13 itu apabila beberapa insiden mendapati ia boleh dihilangkan dengan mudah selepas seseorang membuang undi.

Dakwat kekal digunakan SPR untuk kali pertama pada pilihan raya umum itu selepas pelbagai pihak mendesak suruhanjaya berkenaan mengambil langkah perlu mengelak penipuan undi.

Kata Hasanul Isyraf dakwat berkenaan digunakan untuk menanda jari seseorang yang sudah mengundi bagi mengelak penipuan dan sepatutnya bertahan sehari jika hanya membabitkan aktiviti biasa.

Bagaimanapun katanya dakwat berkenaan boleh hilang jika seseorang itu cuba membersihkan ia menggunakan bahan kimia atau menggosoknya.

"Hanya pihak yang bersungguh-sungguh mahu membuktikan dakwat itu tidak kekal akan memilih cara berkenaan," katanya.

Pada masa sama Hasanul Isyraf mengakui ada dakwat lebih tahan lama tetapi SPR memilih bahan sederhana bagi mengelak kemungkinan ia memudaratkan pengguna.

Berdepan dengan kritikan katanya SPR bagaimanapun memilih kaedah "melawan api dengan air" melalui siri penerangan dan dialog seperti dilakukan mereka malam tadi.

Hasanul Isyraf juga berkata kecurigaan orang ramai terhadap SPR dipengaruhi khabar angin.

"Orang Malaysia suka mendengar khabar angin," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS