PM seru MCA bersatu semula
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyeru dua kumpulan MCA agar "bersatu semula" setelah mesyuarat agung luar biasa parti itu semalam menyokong tindakan membeli Nanyang Siang Pau dan China Press bulan lalu.
Dr Mahathir berkata keputusan telah dibuat walau dengan kemenangan tipis, majoriti 175 undi, kumpulan yang menyokong pengambilalihan dua akhbar itu.
Dalam mesyuarat agung yang dihadiri 2,216 perwakilan, 1,176 orang, atau 53 peratus, menyokong langkah parti itu - melalui syarikat pelaburannya Huaren Holdings, membeli Kumpulan Nanyang yang menerbitkan dua akhbar utama itu dan 14 penerbitan lain. Sementara 1,019 perwakilan menolak.
Perdana Menteri berkata beliau tidak tahu sama ada keputusan itu akan menjejaskan sokongan masyarakat Cina kepada kerajaan.
"Saya harap perkara ini tidak akan menjadi faktor yang memecahkan politik mereka kerana isu ini sudah selesai. Mereka seharusnya berusaha memperkuatkan diri mereka," katanya.
"Mereka (akhbar Cina) dakwa apa yang mereka katakan membayangkan kehendak masyarakat Cina. Saya tidak tahu sama ada (dakwaan itu) benar atau sebaliknya."
Tambahnya, Nanyang Siang Pau dan China Press tidak gembira apabila masyarakat Cina menyokong BN dalam pilihan raya umum 1999.
Beliau berkata akhbar-akhbar Cina menyokong pembangkang dan memberikan ruangan khusus kepada mereka.
Dr Mahathir mendakwa isu jawatankuasa rayuan pilihan raya Suqiu tahun lalu dan perpindahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara awal tahun ini telah dilaporkan seolah-olah "pihak kerajaan anti-Cina".
"Mereka (akhbar) tidak mahu murid Melayu dan Cina bercampur. Ini adalah sikap tidak baik. Kita mahu anak-anak kita belajar bersama-sama," katanya lagi selepas merasmikan Simposium Ekonomi Islam ke-20 di Kuala Lumpur pagi tadi.
Hak istimewa Cina
Mengenai isu Sekolah Wawasan, Perdana Menteri mendakwa: "Apabila isu Sekolah Wawasan dimainkan (oleh akhbar berbahasa Cina), rakyat menjadi takut."
"(Laporan seperti) inilah yang mereka katakan hak istimewa orang-orang Cina," katanya. "Kita telah memberi banyak peluang kepada masyarakat Cina."
Tambahnya, keistimewaan itu yang dinikmati masyarakat Cina tidak terdapat di negara-negara selain Malaysia.
Dr Mahathir turut menasihatkan media massa, termasuk agensi luar negeri, agar melaporkan perkara benar tanpa memutar-belitkan fakta bagi menjayakan kepentingan agenda masing-masing.
Ditanya pelantikan penasihat politik berbangsa Cina, beliau berkata setiausaha politik baru itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Terdahulu, ketika berucap di simposium itu, Dr Mahathir menggesa disegerakan cadangan untuk menubuhkan badan khas bagi menyelaraskan sistem perniagaan di kalangan negara-negara Islam.
Beliau berkata cadangan mewujudkan piawaian antara institusi-institusi perbankan Islam telah dipersetujui tetapi menunggu keputusan Persidangan Negara-negara Islam (OIC).
Malaysia telah menawarkan khidmat agar badan itu ditempatkan di Kuala Lumpur walau sebelum ini Bahrain turut berminat berbuat demikian, katanya.
Persidangan tiga hari yang melibatkan pakar-pakar kewangan Islam pertama kali diadakan di luar Asia Barat.

