Kerajaan Kelantan sekali lagi digesa supaya mengadakan rundingan dengan masyarakat Orang Asli dahulu sebelum melakukan “apa-apa tindakan yang menyebabkan perkara tidak diingini berlaku”.
Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS) berkata sehingga sekarang belum ada jawapan kukuh pihak kerajaan negeri berkaitan perkara itu.
JOAS membuat gesaan itu menjelang tarikh berkuat kuasa notis pengosongan di sekatan yang dibina Orang Asli di Gua Musang pada Ahad depan.
JOAS merujuk kepada notis Jabatan Perhutanan Kelantan kepada ketuanya pada 6 November lalu yang mengarahkan kompartmen 245 hutan simpan Balah dikosongkan.
Dalam kenyataannya hari ini, badan itu bagaimanapun berkata tiada anggota jawatankuasanya berada di tapak sekatan semasa notis tersebut dikeluarkan dan semua sekatan dibina oleh masyarakat Orang Asli Temiar sendiri.
“Sekatan-sekatan di Pos Balar, Pos Pasik, Pos Tohoi dan lain-lain lagi adalah atas usaha orang kampung sendiri untuk melindungi hutan yang masih ada dan juga untuk kehidupan mereka sebagai masyarakat Orang Asli.
“Kami ingin menyatakan bahawa dakwaan JOAS menghasut orang kampung adalah tidak benar sekali,” kata Presiden JOAS Yusri Ahon.
Sebelum ini, sekumpulan NGO dan aktivis hak-hak Orang Asli telah menghantar memorandum kepada kerajaan PAS Kelantan supaya berunding dan membuat keputusan memihak mereka, bagi mengelakkan “pertumpahan darah”.
Ia dibuat ketika berdepan amaran rempuhan pembalak terhadap sekatan mereka, untuk mengeluarkan 1,600 tan balak bernilai RM1.6 di hutan simpan Balah yang terkandas akibat sekatan Orang Asli.
Bermula dengan Pos Tohoi, sekatan kini turut melibatkan Pos Simpor, Pos Gob, Pos Pasik dan Pos Petei – yang menyaksikan kayu-kayu balak yang ditebang tidak dapat dibawa keluar untuk dijual.
Bagaimanapun, PAS dilihat meragui status NGO “difahamkan tidak berdaftar”, yang “menghangatkan lagi suasana”, melalui laporan akhbar webnya Harakahdaily.
