Video cakera padat (VCD) debat tentang isu-isu Islam yang dilakonkan pakar-pakar Umno akan diedarkan seawal-awalnya minggu depan bagi mendedahkan hujah-hujah sebenar perbezaan pandangan parti itu dengan PAS.

Penasihat agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman, memberitahu demikian selepas majlis pembayaran zakat perniagaan di Kuala Lumpur pagi tadi.

VCD itu, yang didakwa telah disunting, dijual oleh peniaga-peniaga ketika muktamar PAS ke-47 awal bulan ini.

Rakaman selama 80 minit itu menunjukkan lapan tokoh agama Umno, termasuk bekas aktivis PAS, yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan berlakon sebagai mewakili parti Islam dalam VCD 'Debat Umno & PAS'.

Sebagai pengerusi majlis debat itu, Abdul Hamid menjelaskan perbincangan itu bertujuan mengupas tajuk 'takfir' atau tuduhan mengkafir terhadap sesuatu pihak.

Kumpulan 'PAS' mengemukakan hujah-hujah sebab Umno perlu ditolak kerana tidak menjalankan hukum-hukum Islam mengikut Al-Quran dan hadis.

Isu-isu yang dibahaskan termasuklah takrif negara Islam dalam konteks pentadbiran Malaysia dan kafir-mengkafir antara dua parti itu.

Siasatan polis

Abdul Hamid sebelum ini berkata Umno telah membuat laporan polis terhadap VCD yang dijual itu dan bahan rakaman asal dibocorkan oleh "orang dalam."

"(VCD asal) tidak dipotong, tidak diedit, (VCD) yang diedarkan itu telah diedit," katanya.

Tambahnya, sehingga kini beliau belum mendapat sebarang maklumat berhubung siasatan itu.

Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, seorang ahli panel debat yang dirakam itu, memberitahu malaysiakini , Umno menganjurkan debat itu dan merakamkannya "bukan dengan sembrono."

Tambahnya, terdapat empat atau lima siri perbincangan itu untuk mengetahui "pemikiran dan pendirian sebenar PAS".

Abdul Hamid, ketika mengumumkan minggu lepas langkah Umno untuk mengedar VCD sebenar debat itu, menjelaskan rakaman itu merupakan "perbincangan ilmiah" dan pengedarannya akan memberi manfaat kepada parti itu dan umat Islam.

VCD itu bertujuan menghebahkan kepada masyarakat berhubung isu-isu PAS mengkafirkan ahli-ahli Umno, tambahnya.

"Ini pun tarbiyah (pendidikan) supaya orang faham bahawa menuduh seseorang itu kafir (adalah) tuduhan berat (yang) membolehkan (orang ramai) berkelahi, berbunuhan," katanya.

Nakhaie pula berkata perbincangan itu meliputi pendirian politik PAS yang melampau berhubung isu-isu Melayu dan konsep perkongsian kuasa sebelum ini.

Zakat perniagaan

Beliau, juga Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), memberitahu debat itu bukanlah perkara baru kerana kajian dijalankan secara berterusan untuk melihat perkembangan pendirian PAS.

Apabila ditanya sebab parti itu tidak mengadakan muzakarah secara langsung dengan pemimpin-pemimpin PAS, Nakhaie berkata, "mereka meletakkan pelbagai syarat."

Sementara ketika majlis penyerahan cek zakat perniagaan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata kerajaan belum bercadang menguatkuasakan kewajipan membayar zakat.

"Tidak ada penguatkuasaan. Apa yang kita buat ialah mendidik orang ramai kewajipan (membayar)," katanya, sambil menambah kaedah itu lebih berkesan.

Malaysia masih tidak mempunyai undang-undang khusus mewajibkan syarikat-syarikat Islam membayar zakat berkenaan. Setakat ini hanya zakat fitrah telah dikuatkuasakan.

Pusat Pungutan Zakat (PPZ) melaksanakan sistem pembayaran melalui kaedah potongan gaji, perbankan telefon dan melalui Internet.

Menurut Pengerusi PPZ, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar, kaedah lain yang dapat membantu kutipan zakat tahun ini ialah pelepasan cukai daripada potongan cukai bulanan.

"Saya mencadangkan kerajaan dapat memberikan rebat cukai 2.5 peratus kepada syarikat yang membayar zakat perniagaan," katanya dalam majlis itu.

Dalam majlis tengahari tadi, PPZ menerima sejumlah RM298,302 zakat perniagaan. Syarikat-syarikat Takaful Malaysia menyumbang RM239,564, Konsortium Dewan Edar (RM25,000), skim perbankan Islam Public Bank (RM20,000) dan Koperasi Shamelin (RM13,757).