Malaysiakini
BERITA

Maria failkan habeas corpus cabar Sosma

Alyaa Alhadjri

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2016, 8:13 pagi

Peguam yang mewakili Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah hari ini memfailkan permohonan habeas corpus untuk mencabar penahanan beliau di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi mendapatkan pembebasan beliau.

Peguam Ambiga Sreenivasan berkata permohonan itu difailkan dengan keadaan pengurungan bersendiri (solitary confinement) terhadap Maria sebagai salah satu alasan.

"Kami juga telah menyatakan bahawa Sosma telah salah digunakan terhadapnya. Dan bahawa kaedah keseluruhan penahannya adalah menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Ambiga, yang juga Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, diiringi peguam-peguam Maria serta tiga anak lelaki beliau.

Habeas corpus adalah perintah untuk membawa orang yang dipenjara di hadapan hakim atau mahkamah untuk mengetahui sekiranya individu itu wajar dipenjarakan.

Ditanya mengenai pembebasan pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini selepas direman empat hari, Ambiga berkata dia tidak menyedari perkara itu.

"Ia  sangat jelas bahawa Maria telah dipilih kerana layanan yang tidak munasabah dan mengejutkan ini.

"Mereka boleh menyiasat beliau tanpa menahan beliau di bawah Sosma," katanya.

Maria ditahan selepas sepasukan polis dari Bukit Aman, bersama-sama pegawai daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menyerbu pejabat BERSIH di Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Maria juga sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Ini berikutan pendedahan bahawa gabungan reformasi pilihan raya itu menerima dana daripada Open Society Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.

Jamal, yang juga ketua bahagian Umno Sungai Besar turut ditahan Jumaat lepas, di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana didakwa merusuh.

 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.