Perhimpunan pertama BERSIH pada tahun 2007 dianggap telah menyumbang kepada kegagalan gabungan parti memerintah untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen, manakala perhimpunan BERSIH2 pada 2011 mendorong kerajaan menubuhkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya.
Bagaimanapun, selepas lima perhimpunan BERSIH - yang terbaru Sabtu lalu - persoalannya sekarang ialah di
manakah kedudukan gerakan itu. Dan, adakah ia masih mampu membawa perubahan dalam usahanya di Malaysia?
Persoalan ini telah dibangkitkan dalam forum pasca-BERSIH5 di Kuala Lumpur, semalam.
Salah seorang ahli panel, pensyarah kanan Universiti Malaya Khoo Ying Hooi, berkata rakyat perlu memahami bahawa proses perubahan, melalui protes, mungkin mengambil masa.
"(Perubahan) bukan serta-merta," kata Khoo di forum anjuran PROHAM itu.
Menurutnya, dalam konteks Malaysia, perubahan tidak mungkin berlaku kerana protes semata-mata.
Khoo berkata, tindakan susulan perlu diambil untuk membawa perubahan yang bermakna.
Menurutnya lagi, bukan mudah untuk mengukur kejayaan sesuatu gerakan.
Satu soalan yang berlegar di fikiran ramai orang, katanya ialah sama ada perhimpunan masih relevan di Malaysia.
Sambil berkata jawapan yang pasti adalah 'ya', beliau menegaskan bahawa perhimpunan berlaku di seluruh dunia, sama ada di dalam sebuah negara yang demokratik atau autokratik.
Tambahnya, Perhimpunan jalanan adalah relevan di seluruh pelusuk dunia dan akan sentiasa begitu.
