Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata dasar ekonomi tidak berubah, malah akan diteruskan seperti biasa, selepas pengunduran menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

"Tidak perlu kajian semula, kita akan sambung semula (dasar sedia ada)," katanya apabila ditanya sama ada akan berlaku perubahan dasar ekonomi negara selepas beliau mengambil alih jawatan itu buat sementara mulai 5 Jun.

Daim meletakkan jawatan pada 1 Jun tanpa memberi sebarang alasan selepas bercuti selama dua bulan. Beliau juga melepaskan jawatan bendahari Umno.

Perdana Menteri menyatakan demikian selepas menyampaikan anugerah kepada pemenang rancangan perniagaan 'Venture 2001' di Kuala Lumpur hari ini. Majlis tersebut anjuran bersama Institut Pengurusan Malaysia, Mesdaq Bhd dan Mckinsey & Co.

Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa kerajaan kini sedang menjalankan kajian teliti sebelum mengambil alih dua syarikat operator sistem transit aliran ringan (LRT).

Menurut laporan agensi berita nasional Bernama semalam, kerajaan menangguhkan rancangan untuk menerbitkan bon bagi membiayai pembelian aset Projek Usahasama Transit Ringan Automatik (Putra) dan Sistem Transit Aliran Ringan (Star), kedua-duanya menanggung hutang berjumlah RM6 bilion.

Sementara itu, Dr Mahathir juga mengumumkan kerajaan akan mendapatkan dana dengan menerbitkan bon sebanyak US1 bilion dolar (RM3.8 bilion) di pasaran antarabangsa.

"Ia bukan khusus untuk sesuatu projek. Ia hanya untuk memenuhi keperluan (dan) ia adalah amalan biasa. Setiap tahun kita akan menambahkan dana melalui penerbitan bon," katanya.

Apabila ditanya sama ada rezab asing bertujuan melindungi ringgit, Dr Mahathir berkata langkah itu "tidak perlu."

"Kita mempunyai lebihan rezab, kita boleh bertahan lebih daripada tiga bulan. Tidak ada apa yang perlu dilindungi, sesiapa pun tidak boleh menyerang ringgit," kata menteri kewangan baru itu.

Kerajaan menetapkan 3.8 ringgit pada kadar satu dolar Amerika Syarikat sejak kawalan modal September 1998.