Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Suatu hari pada 1974 - seorang budak lelaki kelihatan berlari-lari di sebuah kampung kecil di Pendang, Kedah.

Di tangan budak itu senaskhah majalan kanak-kanak, Bambino, yang memang popular pada zaman itu.

Tidak ada apa-apa yang membuat rasa gembiranya membuak-buak kecuali lakaran kartunnya disiarkan dalam majalah berkenaan. Dan dia - si Zunar itu - memperoleh naskhah berkenaan secara percuma sebagai imbuhan kartunnya disiarkan.

Pada zaman itu biasanya penduduk Kampung Padang Durian perlu ke bandar untuk membeli majalah yang terhad jualannya. Perjalanan untuk sampai ke pekan Pendang biasanya mengambil masa sehingga empat jam.

Namun, Bambino itu diperoleh Zunar tanpa perlu mengorbankan begitu banyak masa ke bandar. Lebih penting, ia adalah kartun pertama Zunar diterima untuk disiarkan sesebuah majalah.

Zunar - atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque - memang terkenal sebagai pelukis kartun satira politik yang banyak menyentuh salah laku pemerintah, terutama berkaitan isu rasuah dan penyelewengan.

Pilihannya itu menjadikan Zunar, 54, musuh di mata pemerintah.

Dia tidak ingat dengan tepat pada usia berapakah dia mula memegang berus lukisan, namun kenangan berlari-lari di kampung itu menjadi detik paling tidak dapat dilupakannya sepanjang kerjaya sebagai pelukis kartun.

Persimpangan dilema

Baru-baru ini Zunar berkongsi kenangannya dengan Malaysiakini. Melalui pertemuan di studio sempitnya di Fraser Business Park di Pudu, Kuala Lumpur, Zunar hadir dengan bersahaja. Pada baju T putihnya tertera kata-kata "Membela Hak Kartunis". Dia berseluar panjang hitam dan berselipar.

Kata Zunar, minat melukisnya tidak datang daripada mana-mana rangsangan sebaliknya bakat semula jadi.

"Saya suka melukis, ia datang secara semula jadi dan tidak dapat dijelaskan. Saya masih ingat semasa kartun pertama saya diterbitkan, saya dapat satu majalah percuma dan di dalamnya tertera satu setem getah.

"Saya tunjukkan majalah itu kepada seluruh orang kampung dan berkata kepada mereka: Kamu tengok, kamu perlu beli majalah tetapi majalah kamu ada setem getah tak? Saya ada! Kerana kartun saya diterbitkan," kata Zunar dengan senyuman lebar dan seperti biasa membuat matanya mengecil.

Apabila masuk sekolah menengah, sama macam pelajar lain, Zunar perlu berdepan dengan sistem pendidikan kerajaan Malaysia yang lazim. Dia perlu memilih sama ada mengikuti aliran sains atau sastera.

Ketika itu, ibu bapanya tidak mengalakkan dia memilih aliran sastera. Dalam keadaan begitu, dia diasak dengan pertanyaan yang sukar untuk dijawab: "Macam mana kamu nak hidup kalau menjadi kartunis?"

Lantas Zunar mengikuti keinginan ibu bapanya dengan memilih aliran sains sehingga diterima memasuki Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Di situ, dia memilih kursus yang berkaitan dengan Sains juga - Sains dan Pendidikan.

Sepanjang masa itu, Zunar membayangkan pada masa depannya dia akan menjadi saintis. Namun tanpa dijangka, dia tidak hadir pada peperiksaan akhir tahun pertama kursusnya.

Alasannya - dia tidak suka kursus berkenaan.

"Mungkin pada masa itu saya sudah sedar minat sebenar saya ialah melukis kartun," katanya.

Jadi tukang sapu

Zunar masih ingat tahun itu - 1980. Tanpa hadir peperiksaan dia kemudian membuat keputusan untuk berhenti daripada pengajian di UTM. Dia baru berusia 18 tahun ketika itu.

Selepas tercicir dari universiti, Zunar mula membuat pelbagai kerja sambilan seperti menjadi buruh pembinaan. Antara tugasnya ialah membancuh simen dan membina dinding.

Dia juga pernah bekerja sebagai tukang sapu di kilang syarikat minuman F&N. Bidang tugasnya di situ ialah membersih longkang, tandas dan pejabat.

Kebetulan, studio Zunar sekarang ini adalah berdekatan kilang dan pejabat F&N itu.

Selepas empat tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap, nasib semakin memihak kepadanya.

Namun tawaran kerja itu seolah-olah berjenaka kepadanya.

Kata Zunar dia diberikan peluang mengisi kekosongan jawatan juruteknik makmal hospital. Keadaan itu agak lucu baginya kerana Zunar baru saja 'melarikan diri' daripada bidang sains.

Namun Zunar menerima kerja itu dan pada ketika sama kartunnya sudah kerap disiarkan dalam majalah Gila-Gila. Dengan adanya kolum di situ Zunar perlu menghasilkan sekurang-kurangnya sepuluh kartun setiap bulan.

"Siang hari saya buat kerja di makmal, waktu malam pula saya melukis kartun," katanya.

Namun ia tidak berjalan selancar yang diharapkan.

Jika pada waktu siang di makmal hospital, Zunar perlu berdepan dengan banyak nombor dan membuat kajian menggunakan mikroskop, malamnya pula dia berurusan dengan dunia kreatif.

Lama-kelamaan, Zunar berkata, otaknya seperti tidak dapat berfungsi dengan normal.

"Saya mula menghabiskan lebih banyak masa untuk melukis kartun tetapi fungsi aritmetik saya terjejas, saya tidak boleh kira nombor dengan betul.

"Ini sangat membahayakan pesakit kerana kerja saya ialah membuat kajian, termasuklah menyediakan laporan ujian darah. Saya tidak boleh silap," kata Zunar.

Di saat itu, Zunar sekali lagi perlu membuat pilihan untuk hidupnya.

Akhirnya, Zunar meletak jawatan daripada tugas di hospital lalu menjadi kartunis sepenuh masa. Kartunnya terus dihantar kepada majalah Gila-Gila.

BAHAGIAN 2 : Bagaimana Zunar bertukar menjadi kartunis politik?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS