Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Bahagian 1: Zunar - Budak sains yang tak suka sains


Pada masa itu kartun yang dilukis Zunar bukanlah bersifat politik sebaliknya menyajikan humor biasa.

Antara tajuk kartun yang masih diingatinya ialah "Ali, Siapa Namamu?".

Tidak lama kemudian, Zunar cuba menambah 'perisa' dalam kartunnya. Untuk itu dia gigih mencari majalah yang boleh dijadikan rujukan walaupun hakikatnya tidak banyak bahan bacaan politik pada zaman itu.

Untuk memenuhi keperluan berkenaan, Zunar mengaku dia pernah "mencuri" senaskhah majalah Time dari hospital.

Ketika itu, kata Zunar, dia menghantar kawannya ke hospital dan ternampak majalah Time terbiar di atas meja pelawat, lalu teruja melihatnya kerana mengandungi kartun politik.

"Saya curi majalah itu kerana saya memang memerlukannya sebagai rujukan. Saya tidak mampu membeli Time pada masa itu kerana ia sangat mahal dan susah ditemui," katanya.

Mengimbas kembali peristiwa yang tidak diketahui orang itu, Zunar sekali lagi tersenyum.

Dia berharap hospital berkenaan dapat memaafkan tindakannya, sambil mengingatkan, perbuatan itu hanya sekali dilakukannya.

Salleh Abbas punya pasal

Pada 1985, bermulalah detik Zunar - ketika itu berusia 28 tahun - menjadi pelukis kartun sepenuh masa. Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad baru saja menjadi perdana menteri.

Mengikut ingatan Zunar, pada zaman itu kebanyakan orang memuji Dr Mahathir.

"Boleh dikatakan kira-kira 90 peratus rakyat suka dia, tetapi saya rasa ada banyak perkara yang tidak kena.

"Contohnya dasar Pandang ke Timur yang saya rasa tidak memberi faedah kepada rakyat, sebaliknya hanya memanfaatkan Dr Mahathir seorang," jelasnya.

Insiden yang benar-benar membuat darah Zunar 'menggelegak' ialah kes pemecatan ketua hakim negara, Tun Salleh Abbas.

Nadanya tegas apabila menyentuh kejadian itu.

"Mana boleh memecat seorang hakim!" katanya.

Untuk mengetahui apa sebenarnya terjadi pada sistem kehakiman negara, Zunar mula menempah majalah bulanan Majlis Peguam Malaysia - Insan - pada masa itu.

Dia juga mula membaca majalah Aliran dan aktif menghadiri pelbagai forum dan ceramah.

Suatu hari ketika menghadiri forum anjuran Majlis Peguam dan menyertai sesi soal jawab, tiba-tiba dia bertanya kepada dirinya sendiri: "Aku seorang kartunis, boleh lukis semua ini dalam kartun. Mengapa perlu tunggu sampai sesi soal jawab?"

Selebihnya adalah sejarah. Zunar mula melukis kartun politik pada usia 30 tahun.

Ketika itu, Zunar masih menyumbang kartunnya kepada majalah Gila-Gila. Majalah itu dirasakannya kurang sesuai untuk kartun politik. Justeru Zunar mula mencari wadah lain.

Dia menyertai akhbar Berita Harian yang difikirkannya suatu medan baru untuk dia bebas menterjemah fikirannya menggunakan dakwat. Namun enam bulan kemudian, dia meninggalkan tempat itu dengan rasa kecewa.

"Ada banyak sekatan. Kamu tidak boleh melukis dengan bebas. Saya sangkakan itu tempat untuk saya siarkan kartun politik tetapi hakikatnya, mereka dimiliki oleh parti dan saya tidak boleh lukis apa yang saya ingin lukis," katanya.

Harakah tempat bermula

Zunar berhenti melukis dan tidak lagi menghantar sebarang kartun kepada majalah atau surat khabar selama dua tahun.

Dia menggambarkan keadaan dirinya sebagai "bersara" ketika itu. Untuk menampung kehidupan, dia mengajar kanak-kanak melukis sambil kadang-kala menulis skrip filem.

Sehinggalah 1998 apabila semboyan reformasi dilaungkan. Ia sekaligus menyemarakkan semula impian kartun politik Zunar.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menjadi musuh Dr Mahathir.

Sebelum Anwar ditangkap dan dimasukkan ke penjara, rumahnya di Bukit Damansara mengadakan ceramah atau perjumpaan setiap malam.

Walaupun sudah berhenti melukis, Zunar yang dipengaruhi suasana reformasi ketika itu turut melukis kartun politik, mencetaknya lalu dibawa ke rumah Anwar untuk diagihkan kepada orang ramai.

Dua hari kemudian, ada kawan-kawannya bertanya mengapa dia tidak menghantar kartunnya kepada mana-mana penerbitan.

Mereka kemudian mencadangkan satu akhbar bukan arus perdana - Harakah.

Cadangan kawan itu terus menyedarkan Zunar lalu mendorongnya keluar daripada "persaraan" yang lesu. Dia mengangkat semula berus lukisan dengan lebih serius.

Kartun Zunar mula muncul di Harakah pada 1999 dan ia juga menandakan bermulanya titik perubahan baru dalam hidupnya.

Zunar berkata dia berasa mendapat kebebasan melukis di Harakah. Ia adalah perasaan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Pada masa sama, namanya juga semakin dikenali ramai.

"Saya boleh melukis apa yang saya ingin dan orang ramai mula mengenali saya," katanya.

Selepas beberapa tahun melukis untuk Harakah, Zunar mula mendapati pembaca utama akhbar itu ialah orang Melayu dan dia berasa perlu mengembang khalayaknya kepada pembaca antarabangsa.

Maka, dia mula menghantar kartun politik ke Malaysiakini lalu menjadi penyumbang tetap portal dalam talian itu sehingga kini.

Pada November tahun lalu, pameran Zunar di Komtar, Pulau Pinang diserang sekumpulan orang yang tidak puas hati dengan karya-karyanya yang mengkritik Datuk Seri Najib Razak.

Zunar juga ditangkap polis mengikut Akta Hasutan.

Tiga minggu kemudian, dia sekali lagi ditangkap oleh polis di satu majlis amal dan kira-kira 1,000 buku kartun dan baju T mengandungi perkataan dianggap tidak wajar oleh pihak berkuasa, dirampas.

Berhadapan dengan siri tekanan, Zunar mengakui semangatnya memang rendah setiap kali ditindas, tetapi tetapi sokongan rakyatlah yang memberi kekuatan untuk dia terus teguh melakar dengan berusnya.

"Macam slogan kelab Liverpool, You'll Never Walk Alone. Saya tak pernah bersendirian kerana rakyat menyokong saya, seperti orang yang kamu nampak tadi. Dia memberi saya tenaga," kata Zunar.

Sebelum temubual ini dijalankan, Zunar bertemu dengan seorang lelaki di sebuah restoran di bawah studionya.

Lelaki itu teruja apabila terserempak Zunar lalu terus mengeluarkan RM100 untuk membeli buku kartun daripadanya.

Dalam perbualan mereka, lelaki itu mendorong Zunar agar jangan putus asa melukis. Lelaki itulah rakyat yang dimaksudkan Zunar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS