Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar tak tahu MARA bermesyuarat, tapi...
Diterbitkan:  Jan 31, 2017 2:26 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak tahu menahu Majlis Amanah Rakyat (MARA) bermesyuarat hari ini dan kemudian memutuskan untuk menggantung jawatannya sebagai pengerusi agensi berkenaan.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata, beliau juga belum dimaklumkan mengenai mengapa keputusan berkenaan diambil.

Setakat ini, kata ketua penerangan Umno itu, beliau tidak pernah diminta memberi sebarang penjelasan.

"Saya tidak tahu menahu hal mesyuarat khas ini (pagi tadi) dan saya juga belum mendapat maklum apa isunya kerana setakat ini saya tidak pernah diminta apa-apa penjelasan baik ahli majlis atau menteri," katanya dalam tulis di Facebook, sebentar tadi.

Terdahulu jawatan pengerusi MARA dan syarikat Pelaburan Mara Bhd (PMB) disandang Annuar sebelum ini kini dipangku seorang daripada ahli majlis badan berkenaan.

Keputusan menggantung jawatan Annuar dibuat pada mesyuarat diadakan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Bagaimanapun, kata Annuar, seseorang menghubungi beliau - yang kini berada di New Zealand atas urusan rasmi - menerika keputusan itu dengan berlapang dada dan penuh tanggungjawab.

Annuar berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan Ahli Majlis MARA Datuk Dr Yusof Yaacob yang memaklumkan mesyuarat khas diadakan dengan restu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kenyataan minggu depan

Katanya, mesyuarat ahli majlis itu sepatutnya diadakan pada 14 Februari ini dan beliau bercadang untuk membincangkan beberapa isu berkaitan.

"Tetapi menteri telah memberi kebenaran untuk mesyuarat khas diadakan lebih awal dan tanpa kehadiran saya.

"Sebagai penjawat jawatan yang dilantik, saya menerima apa saja secara berlapang dada dan penuh kebertanggungjawaban terutama dalam rangka menjalankan tugas yag diamanahakan.

"Prinsip integriti dan amanah insya-Allah sentiasa saya utamakan. Saya akan membuat kenyataan selanjutnya minggu depan.

"Biar segalanya tenang dulu dan tidak perlu terburu-buru," katanya.

Keputusan itu dibuat 20 hari selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Iskandar memuat naik statusnya berhubung penajaan Pelaburan MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang "dipaksa" untuk menaja skuad Liga Super Kelantan.

Annuar menafikan kenyataan itu sejurus kemudian.

Menulis di Facebook, Ketua Penerangan Umno itu berkata "MARA tidak pernah menaja" walau satu sen pun untuk skuad The Red Warriors (TRW).

Penggunaan logo 50 Tahun MARA pada bahagian lengan jersi pasukan TRW itu pula, kata Annuar, dipamerkan secara percuma walaupun ia bernilai RM250,000.

Pada 13 Januari Annuar memberi kenyataan berbeza. Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, beliau "difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan dokumen lain antara The Red Warrior Sdn Bhd dan UniKL.

“Bagi saya, kita ucapkan terima kasih atas edaran itu kerana ia menunjukkan kedua-dua pihak lakukan dengan begitu teratur. Ada surat tawaran, ada rundingan dan tawar menawar, ada kontrak, ada baucar, ada resit dan lain-lain.

“Saya percaya bukan dengan UniKL sahaja tapi semua penaja lain. Semuanya di buat secara tertib dan berperaturan,” katanya.

Lihat Komen
ADS