Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penganut ajaran dewa Tao yang memuja "Datuk Kong" mencetuskan kontroversi baru-baru ini selepas sebuah tokong dengan ciri-ciri seperti masjid menimbulkan rasa tidak senang sesetengah pihak.

Tokong Datuk Kong yang sebelum ini dibina di Jalan Makyong 5E / KU5 di Bukit Raja, Kelang, dilihat mempunyai kubah seperti masjid.

Ia sudah dirobohkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 1 Februari lalu.

Sebelum dirobohkan, gambar-gambar tokong itu menjadi tular di media sosial.

Malaysiakini bertemu dengan Presiden Persatuan Penganut Tao Cawangan Kelang, Yeoh Choo Beng, untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai "Datuk Kong".

Kata Yeoh, pemujaan terhadap "Datuk Kong" dipercayai bermula sejak abad ke-19 ketika rakyat China berhijrah ke Asia Tenggara.

Katanya gelaran "Datuk Kong" itu bukan nama asal untuk dewa berkenaan, sebaliknya berpunca daripada panggilan orang Melayu setempat.

"Orang China memuja semangat ‘di zhu gong’ (dewa tanah) untuk mendapatkan perlindungan di negara asing.

"Dikatakan ketika mereka cuba menjelaskan hal dewa itu kepada penduduk Melayu tempatan, mereka menyebutnya tok kong yang kemudian difahami sebagai Datuk Kong," katanya.

Dalam keadaan begitu, kata Yeoh, asal usul panggilan "Datuk Kong" masih kabur dan tidak direkodkan dengan jelas dalam ajaran Tao kerana ia bukan satu daripada dewa dipercayai mereka.

Katanya, semangat 'Datuk' yang meninggal disembah kerana mereka dipercayai melakukan perbuatan baik pada masa lalu dan dihargai orang ramai.

"Penganut Tao tempatan menyembah 'datuk' yang melakukan perkara baik seperti banyak membantu orang dan membuat kebajikan di tempat mereka.

"Jadi ada banyak datuk dengan nama yang berbeza-beza," katanya.

Yeoh berkata, "Datuk Kong" biasanya dianggap sebagai dewa Melayu kerana nama, rupa dan pakaiannya yang kemelayuan.

Menurutnya, Datuk Kong versi Cina juga wujud tetapi jarang-jarang ada.

"Ada Datuk Kong yang dibuat dengan pakaian Cina tetapi saya baru jumpa satu setakat ini," katanya.

Walaupun "Datuk Kong" dilihat sebagai "dewa Melayu" ramai orang Cina penganut Tao serta pemaju masih menyembahnya untuk mendapatkan kekayaan dan perlindungan daripada bencana.

"Di Klang, ada terdapat banyak projek pembangunan. Banyak pemaju membina tokong di kawasan mereka untuk berdoa kepada Datuk Kong kerana pembangunan yang dijalankan melibatkan penebangan pokok serta membangunkan tanah," katanya.

Dia juga memberitahu, sesetengah kontraktor berdoa kepada Datuk Kong sebagai adat kerana bimbang ada kejadian tidak diingini berlaku jika ia tidak dibuat begitu.

Menuru Yeoh ada kira-kira 420 tokong "Datuk Kong" berdaftar di sekitar Klang, termasuk yang bersaiz kecil dan dipasang dalam rumah penganutnya.

"Ramai pemilik kedai juga membina tempah sembahan Datuk Kong untuk berdoa supaya perniagaan mereka selamat dan berjaya," katanya.

Walaupun "Datuk Kong" dianggap sebagai dewa yang penting, Yeoh mengingatkan, penganut ajaran itu perlu mengelak daripada membina tempat sembahan yang besar di tempat awam sebelum mendapatkan kebenaran.

"Kita perlu bertimbang rasa dan menghormati orang lain jika kita mahu dihormati dan tidak menimbulkan salah faham," katanya merujuk kepada perobohan tokong di Bukit Raja itu.

Yeoh juga menyarankan supaya tokong atau tempat suci mereka didaftarkan dengan pihak berkuasa tempatan kerajaan sebelum dibangunkan.

"Agak mudah untuk mendaftar tokong atau tempat sembahan itu sebelum dibina kerana ia boleh dilakukan secara atas talian dan kelulusan boleh diperoleh dalam tempoh satu minggu," katanya.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS