Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Pihak berkuasa Singapura sedang membisu berhubung laporan yang mendakwa pesawat yang dikatakan milik jutawan Low Taek Jho telah dirampas dan ditahan di republik.

Laporan yang tersebar sekitar Khamis minggu lalu mendakwa bahawa jet Bombardier Global 5000 itu dirampas ketika mendarat di sebuah hangar di Lapangan Terbang Seletar Singapura.

Apabila diajukan soalan mengenai laporan itu, Pasukan Polis Singapura bagaimanapun, enggan mengulas.

"Kami tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan," katanya dalam satu e-mel kepada Malaysiakini malam tadi.

Sementara itu, Changi Airport Group yang menguruskan lapangan terbang Seletar memberitahu portal berita pada Ahadlalu bahawa ia tidak dapat mengulas mengenai perkara berkenan.

Ini kerana Changi Airport Group tidak menguruskan hangar di Lapangan Terbang Seletar.

Sebaliknya, hangar di lapangan terbang itu diuruskan oleh salah satu daripada beberapa syarikat yang beroperasi di lapangan terbang tersebut.

Salah satu syarikat itu, Jet Aviation (Asia Pacific) Pte Ltd, dalam maklum balas kepada soalan Malaysiakini mengenai laporan itu berkata "Syarikat kami tidak menyediakan jenis maklumat yang diminta itu."

Syarikat berkenaan adalah antara beberapa syarikat yang beroperasi di lapangan terbang Seletar dan menawarkan antara lain, perkhidmatan penyelenggaraan dan menaiktaraf pesawat.

Dakwaan bahawa pesawat Low dirampas dipercayai berasal dari sebuah blog post bertarikh 2 Februari , tetapi ia kemudiannya dipadam Ahad lali. Bagaimanapun tulisan yang dipadamkan itu masih boleh dikesan pada cache Google semasa berita ini ditulis.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu kemudiannya dipetik oleh Sarawak Report dan China Press, yang kedua-duanya merujuk blog post yang sama. Tulisan sama juga diterbitkan semula dalam beberapa blog dan laman web lain.

Dakwaan itu kemudiannya dilaporkan oleh beberapa berita seperti The Edge dan finews.asia, yang kedua-duanya memetik Sarawak Report sebagai sumber.

Pesawat itu adalah sebahagian daripada kira-kira aset AS$1 bilion yang didakwa diperoleh melalui dana yang diseleweng daripada 1MDB yang kerajaan Amerika Syarikat sedang berusaha untuk menyitanya.

Semasa perbicaraan kes bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei di mahkamah Singapura tahun lalu, isu jet Jho Low juga ditimbulkan.

Sekeping gambar yang dirakamkan oleh Yeo, memaparkan jutawan itu dalam pesawat berkenaan sebelum berlepas dari Singapura ke Hong Kong. Gambar berkenaan dibentangkan di mahkamah.

Yeo dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan mengganggu saksi.

Beliau juga didapati terbabit dengan pengubahan wang haram yang mengalir dari akaun, individu dan entiti dikaitkan dengan 1MDB.

Pihak pendakwaan berkata Yeo mengumpulkan harta bernilai kira-kira S$23.9 juta dalam tempoh 15 bulan melalui "keuntungan rahsia" selepas beliau meninggalkan bank itu pada bulan Jun 2014 untuk bekerja dengan Jho Low.

Lihat Komen
ADS