'Sabar, jangan masuk perangkap Umno,' PAS gesa Karpal
Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh harus "bersabar" menunggu perbincangan di peringkat tertinggi majlis pemimpin pembangkang dan "jangan terperangkap dengan mainan Umno", gesa Ketua Penerangan PAS Azizan Abdul Razak hari ini.
Beliau mengulas keengganan Karpal untuk membincangkan isu negara Islam dalam pertemuan tertinggi Barisan Alternatif.
Karpal semalam berkata beliau sedia menerima cadangan Parti Keadilan Nasional sehari sebelum itu untuk berbincang dalam majlis tertinggi BA tetapi menolak sebarang perbincangan berhubung isu itu.
"Kalau tidak, tindakan itu (perbincangan pemimpin tertinggi BA) hanya sia-sia," kata Karpal.
"Sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk untuk menubuhkan negara Islam akan ditentang sekeras-kerasnya (oleh DAP), dengan alasan mudah bahawa usaha seumpama itu bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan secara khusus sebuah negara sekular."
Azizan menambah, pandangan peguam itu bersifat "peribadi" dan tidak mewakili pandangan keseluruhan ahli DAP.
Mengulas kenyataan Karpal yang menggesa DAP atau PAS keluar dari gabungan itu jika pelaksanaan negara Islam diteruskan, Azizan berkata: "Kita (PAS) serahkan kepada ahli, sama ada hendak berkawan (dengan DAP) atau mengorbankan dasar (negara Islam) atau kekal dengan cara sekarang (Barisan Alternatif) tanpa mengorbankan dasar," katanya kepada malaysiakini ,
Azizan bagaimanapun tidak yakin bahawa ahli-ahli PAS sanggup mengorbankan dasar perjuangan mereka berhubung penubuhan negara itu.
'Manifesto bukan perlembagaan'
Beliau juga bersetuju dengan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Mohd Hatta Md Ramli yang berkata semalam bahawa parti itu menghormati manifesto bersama pembangkang dalam pilihan raya umum 1999. Manifesto itu, kata Dr Hatta, tidak menyebut isu penubuhan negara Islam atau negara sekular.
Bagaimanapun Azizan berkata "manifesto itu bukanlah perlembagaan".
"(Dalam) perjanjian BA, PAS tidak menyuruh DAP, Parti Rakyat Malaysia atau Keadilan menggugurkan dasar masing-masing," kata Azizan lagi, dan menggesa parti-parti dalam pakatan itu tidak menafikan hak PAS untuk meneruskan dasar negara Islam.
Katanya, walau perlembagaan PAS tidak menyebut matlamat menubuhkan negara Islam tetapi fasal 5 dokumen itu menegaskan "kewujudan pemerintahan berasaskan nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakam yang menuju keredhaan Allah."
Azizan mengulas kenyataan Presiden PRM Dr Syed Husin Ali yang menyebutkan perlembagaan PAS sendiri tidak terkandung hasrat menubuhkan negara Islam.
Beliau menambah, usaha-usaha memberi penerangan tentang isu itu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mengatasi "kekeliruan yang telah diracun oleh Umno."
Karpal, dalam kenyataan hari ini, menjelaskan DAP menolak konsep negara Islam kerana mempertahankan peruntukan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sambil menegaskan DAP menghormati Islam sebagai agama rasmi negara, Karpal berkata: "Penolakan kami bukannya terhadap Islam yang memang kami hormati tetapi penubuhan negara Islam (yang ditentang) yang bercanggah dengan Perkara 3."
Binaan asas perlembagaan memperuntukkan sebuah negara sekular dan hal ini telah diterima oleh semua warganegara, termasuk ahli akademik dan orang Melayu sendiri, sejak kemerdekaan, tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.