Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fikah tertutup punca bulu babi sensitif
Diterbitkan:  Feb 9, 2017 7:10 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Isu kontroversi berkaitan berus diperbuat daripada bulu babi tidak akan muncul jika masyarakat di negara ini bersikap terbuka ketika memahami perbezaan dalam Islam.

Lebih daripada itu, jika ia tidak ditangani dengan betul, kata Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) Angkatan Muda Keadilan, Wan Ji Wan Hussin, Islam akan menjadi mangsa.

"Pihak yang membangkitkan perkara begini, saya pesan supaya mereka beringat.

"Tindakan mereka itu hanya akan menyebabkan orang bukan Islam benci Islam, mereka (masyarakat bukan Islam) akan sinis terhadap Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 6 Februari lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menyita lapan berus cat pelbagai jenis dipercayai diperbuat daripada bulu babi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub, berkata operasi itu dibuat bagi mengesan penjualan berus bulu haiwan yang dibuat secara terbuka tanpa sebarang label.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas berus cat yang diperoleh dari tiga premis di Taman Sri Muda dan Kota Kemuning itu mendapati ia tidak mempunyai label kod A913 dan A680.

Dua hari kemudian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula mencadangkan kepada kerajaan supaya produk diperbuat daripada babi dilabelkan untuk mengelak kekeliruan pengguna.

Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan, mencadangkan supaya produk terbabit diletakkan "logo babi" supaya pengguna beragama Islam tidak membelinya secara sengaja.

Semua kecuali Syafie

Selain berus cat, katanya, banyak produk makanan, kasut, peralatan dapur serta pakaian yang ada di pasaran juga mengandungi babi.

"Segala-galanya. Mereka harus mempunyai logo (babi).

"Kita juga akan takut jika kita terpakai jaket babi," katanya.

Bagaimanapun hari ini Datuk Hamzah Zainuddin mengesahkan beliau mengarahkan bahagian penguatkuasa KPDNKK menghentikan serbuan ke atas kedai-kedai yang menjual berus diperbuat daripada bulu babi.

Menurut Wan Ji, ada kalangan masyarakat ketika ini bersikap jumud dalam hal fikah.

"Semua mazhab - kecuali Syafie saja - menyatakan bahawa babi hanya haram dimakan. Ada pun jika bersentuh, tidak haram.

"Perkara ini jadi sensitif kerana kejumudan fikah. Ekoran itu isu kasut kulit babi tidak berlaku isu sensitif dalam masyarakat yang ada keterbukaan fikah," katanya.

Isu berkenaan, kata Wan Ji, menjadi sensitif apabila ia dibincangkan dalam masyarakat yang "jumud fikah".

Mengulas lanjut Wan Ji turut mempersoalkan sekiranya ada pihak yang mendakwa di Malaysia ini hanya terdapat mazhab Syafie yang diamalkan.

"Jawapannya, di Malaysia, bayaran zakat fitrah (dipraktikkan) tidak mengikut mazhab Syafie.

"Dalam mazhab Syafie, zakat fitrah menggunakan duit zakat tak sah, tapi (mengapa) tak ada seorang pun jadikan ia isu?" katanya.

Oleh yang demikian Wan Ji berkata di Malaysia ini sentimen fikah tertutup tidak wajar, sebaliknya keterbukaan perlu diajar kepada masyarakat.

Lihat Komen
ADS