Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan sita berus cat dipercayai bulu babi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor hari ini menyita lapan berus cat pelbagai jenis dipercayai diperbuat daripada bulu babi di tiga premis menjual perkakasan binaan, dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Abdul Rosik Yakub berkata, operasi itu dibuat bagi mengesan penjualan berus haiwan berkenaan yang dibuat secara terbuka tanpa sebarang label di premis menjual perkakasan binaan di seluruh Selangor.

"Kita menjalankan operasi ini bagi memeriksa dan mengesan penjualan berus cat di kedai-kedai yang mana kita khuatiri berus itu diperbuat daripada bulu babi.

“Mana-mana pemilik kedai boleh menjual berus ini di premis masing-masing tetapi berus-berus ini perlu dilabelkan atau diasingkan supaya pengguna (terutamanya yang beragama Islam) jelas pembuatannya," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas berus cat yang diperoleh dari tiga premis di Taman Sri Muda dan Kota Kemuning itu mendapati ia tidak mempunyai label kod A913 dan A680.

Mengikut rekod pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kod A913 dan A680 yang tertulis pada badan berus menunjukkan berus itu diperbuat daripada bulu babi.

Namun, beliau berkata, berus cat yang disita hari ini tidak mempunyai sebarang kod, justeru, pihaknya akan menghantar berus-berus itu untuk ujian makmal bagi mengesahkan kandungan bulu berus terbabit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS