Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tak boleh paksa AG mulakan prosiding jenayah
Diterbitkan:  Feb 15, 2017 8:07 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Mahkamah tidak boleh memaksa Peguam Negara untuk memulakan apa-apa prosiding jenayah terhadap seseorang individu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah memutuskan demikian dalam penghakiman bertulis setebal 41 muka surat dalam permohonan semakan kehakiman melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diedarkan kepada media hari
ini.

"Ini kerana berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai budi bicara yang luas berhubung kawalan dan arahan bagi semua pendakwaan jenayah.

"Bukan sahaja beliau (Peguam Negara) memulakan dan menjalankan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, beliau juga boleh memberhentikan prosiding jenayah yang beliau telah mulakan.

"Dan mahkamah tidak boleh memaksa beliau untuk memulakan apa-apa prosiding jenayah yang beliau tidak mahu mulakan atau meneruskan apa-apa prosiding jenayah yang beliau telah putuskan untuk tidak teruskan," katanya.

Hakim bersetuju dengan hujahan peguam kanan persekutuan bahawa peruntukan itu adalah kuasa khas yang diberi kepada Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Beliau membuat keputusan itu pada 11 November tahun lepas, apabila menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mencabar keputusan Peguam Negara Tan Sri
Mohamed Apandi Ali.

Khairuddin mencabar keputusan Mohamed Apandi yang menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berhubung isu sumbangan derma RM2.6 bilion, pemindahan dana oleh SRC
International ke akaun peribadi beliau dan peruntukan pinjaman oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk SRC International.

Hanipah juga berkata isu konflik kepentingan seperti yang dihujahkan oleh Khairuddin tidak timbul apabila Mohamed Apandi memutuskan untuk tidak mendakwa perdana menteri berhubung IMDB dan isu-isu berkaitan.

Hakim juga tidak menerima hujah pemohon bahawa Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri oleh itu mempunyai konflik kepentingan untuk membuat keputusan sama ada untuk mendakwa Najib berhubung isu 1MDB dan kes yang berkaitan.

"Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan perlu sentiasa diingat," katanya. 

Hanipah seterusnya menolak dakwaan lain oleh pemohon bahawa arahan Peguam Negara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup fail siasatannya adalah ultra virus kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3).

"Peguam Negara mengarahkan fail ditutup kerana tidak ada tindakan lanjut yang akan diambil kerana tiada kesalahan telah didedahkan daripada Kertas Siasatan itu. Ini adalah amalan biasa yang diguna pakai oleh Jabatan Peguam Negara.

"Pada pandangan saya arahan, 'Tiada Tindakan Lanjut' dan 'Kemas Untuk Simpanan' tiada kaitan dengan kuasa budi bicara Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara ini," katanya.

Hanipah juga menegaskan bahawa tidak ada merit dalam dakwaan Khairuddin mengenai arahan Peguam Negara kepada SPRM, yang "berkaitan dengan arahan biasa yang diminitkan dalam Kertas Siasatan berikutan keputusan untuk tidak mendakwa".

"Adalah ditegaskan bahawa Peguam Negara bertindak dengan jujur dan tanpa rasa takut serta pilih kasih. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau boleh menyalurkan di tempat lain dan bukannya di mahkamah," katanya.

Pada 11 November tahun lepas, Hanipah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Khairuddin untuk mencabar keputusan Peguam Negara yang menutup siasatan berhubung isu sumbangan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi perdana menteri dan dana dari SRC International Sdn Bhd ke akaun Najib dan pendakwaan berhubung isu itu.

Beliau juga menolak kebenaran untuk semakan kehakiman oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan Majlis Peguam Malaysia berkaitan isu yang sama. 

Khairuddin memfailkan permohonan itu pada 3 Feb tahun lepas, memohon mahkamah membatalkan keputusan yang dibuat oleh Mohamed Apandi pada 26 Januari tahun lepas, yang melepaskan Najib daripada sebarang salah laku berhubung tiga kertas
siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
 

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS