Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tohmahan Duta Korea Utara penghinaan besar buat M'sia'
Diterbitkan:  Feb 20, 2017 11:35 PM
Dikemaskini: 3:55 PM

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing dalam siasatan kes bunuh Kim Jong-nam merupakan penghinaan yang amat besar terhadap negara.

"Penyiasatan polis tersebut adalah berdasarkan kesemua petunjuk (leads) yang ada. Semua petunjuk ini akan disiasat sepenuhnya. Petunjuk-petunjuk tersebut mungkin melangkau, dan di dalam sesetengah kes, tidak ada hubung kait dengan maklumat yang diberi pihak kedutaan mahupun entiti-entiti lain.

"Di mana-manapun negara yang bertamadun, adalah menjadi amalan bahawa kes sedemikian rupa akan disiasat secara sekomprehensif mungkin.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berbuat demikian. Pihak awam juga akan menuntut perkara yang sama. Oleh yang demikian, maklumat kepada umum telah diberi apabila perlu," kata Anifah dalam kenyataan.

Anifah berkata demikian selepas Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol meluahkan rasa tidak yakin Pyongyang ke atas siasatan yang dijalankan oleh pasukan polis negara ini berhubung kematian Jong-nam.

Malah duta itu juga menuduh Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan untuk membantu mengalihkan perhatian berhubung krisis berterusan yang sedang menyelubungi kepimpinan Korea Selatan.

Pada sidang media hari ini, Kang berkata, sudah tujuh hari berlaku kejadian itu namun tidak ada bukti jelas mengenai punca kematian Jong-nam dan ini menyebabkan Pyongyang tidak mempercayai siasatan polis.

"Ini hanya menimbulkan keraguan bahawa mungkin ada tangan lain di sebalik siasatan itu," kata Kang.

Beliau juga mendakwa siasatan pihak polis negara ini adalah untuk mencapai matlamat politik tertentu.

Selain itu Kang turut mendakwa polis negara ini mengancam anggota keluarga seorang rakyatnya dan memukul anaknya ketika menyerbu sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Anifah berkata, adalah juga menjadi kelaziman bagi pihak kedutaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negara hos.

Ini, tambahnya, bagi memastikan bahawa penyiasatan yang dijalankan adalah serapi mungkin, dan bukannya untuk menimbulkan syak-wasangka terhadap penyiasatan tersebut.

Lihat Komen
ADS