Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

FOKUS l Mereka ini menghuni jauh di kawasan pedalaman, di mana kelapa sawit dan getah saujana mata memandang.

Namun mereka ini adalah penentu atau pembuat keputusan siapa yang bakal memenangi pilihan raya.

Mereka ini kumpulan peneroka Felda, yang selama beberapa dekad lalu dianggap sebagai pengundi tegar yang menyokong BN dan memastikan gabungan itu terus berkuasa.

Dan ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) semakin dekat, penempatan peneroka menjadi medan pertempuran baru.

Dalam usaha untuk menghakis sokongan padu BN itu, Pakatan Harapan dan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memulakan siri jelajah PRU14 di seluruh negara dengan tumpuan di penempatan Felda.

Pembangkang menampilkan personaliti dengan nama besar seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Matlamatnya adalah untuk mempengaruhi peneroka Felda untuk menyokong pembangkang pihak pembangkang untuk membolehkan mereka memenangi kerusi yang mencukupi di Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Daripada 52 kerusi Parlimen di kawasan daerah mengundi Felda, sembilan kerusi yang dimenangi oleh BN adalah semata-mata daripada sokongan peneroka dan keluarga mereka.

Empat daripada kerusi itu dipegang oleh menteri persekutuan, iaitu Bera oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Bentong oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Segamat oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam; dan Tanjung Malim oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Persempadanan semula

Sementara itu, pada pilihan raya umum akan datang, daerah mengundi Felda juga akan memberi kemenangan besar kepada BN di dua kerusi DUN, jika persempadanan semula diluluskan.

BN mungkin merampas Sabai - kerusi DUN di Pahang yang kini dipegang oleh DAP dengan majoriti tipis 117 undi - jika tiga daerah Felda, Felda Mempaga 1, 2 dan 3 serta 2,025 pengundi BN - dipindahkan dari kawasan sebelahan iaitu Ketari.

Persempadanan semula juga akan membantu BN mengekalkan kerusi DUN Paloh di Johor - yang MCA menang tipis dengan 153 undi - selepas Felda Kahang Barat dan 1,700 undi BN dipindahkan dari Kahang.

Secara keseluruhan, data pilihan raya 2013 menunjukkan bahawa peneroka Felda mengundi memihak kepada BN bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN di kawasan mereka.

Sokongan paling rendah di kalangan peneroka Felda kepada BN adalah di Kelantan, di mana sokongan pada peringkat parlimen adalah pada 59 peratus dan sokongan di peringkat DUN adalah pada 58 peratus.

Di negeri-negeri lain, tahap sokongan adalah pada 63 peratus dan ke atas, termasuk di Pahang, dengan yang tertinggi adalah di Johor, di mana hampir 90 peratus undi peneroka Felda 'mengundi BN’.

Kemungkinan menang marginal tanpa undi Felda

Pola pengundian menunjukkan bahawa BN menguasai kerusi dalam zon Felda, tetapi kemenangan pembangkang di beberapa kawasan Parlimen membuktikan bahawa merangkul undi Felda bukan satu-satu cara untuk menang.

Gabungan pembangkang sebelum ini, Pakatan Rakyat, memenangi enam kerusi termasuk di Kulai, Raub dan Dungun, walaupun BN mempunyai kelebihan undi Felda.

Dalam dua daripada kerusi pembangkang - Kuala Nerus dan Temerloh - PAS menang kurang separuh daripada undi Felda, tetapi apabila digabungkan dengan undi bukan Felda, ia sudah mencukupi untuk mereka menang ke atas BN.

Jika kempen pembangkang terhadap BN berjaya, malah lebih 52 kerusi parlimen akan menyaksikan pengundi Felda menjadi undi penentu.

"Undi Felda akan menjadi salah satu faktor penentu kerana Felda mewakili suara Melayu.

"Jika peneroka Felda tidak memberi BN sokongan, adalah sukar bagi parti pemerintah untuk berpegang kepada kuasa," kata penganalisis politik Ahmad Atory Hussain kepada Malaysiakini.

Faktor PAS

Walau bagaimanapun, HARAPAN dan BBERSATU menghadapi jalan sukar pada PRU14 ini jika mereka gagal untuk meyakinkan PAS supaya bersama dengan mereka.

PAS mempunyai sokongan kukuh di penempatan Felda, dan merayu penyokongnya untuk mengundi HARAPAN dan BERSATU mungkin menjadi satu tugas yang sukar.

Corak pengundian pada tahun 2013 menunjukkan bahawa peratusan kecil penyokong PAS tidak bersedia untuk mengundi parti lain Pakatan Rakyat, terutamanya, DAP.

Walaupun terdapat perubahan kecil dalam undi pembangkang di peringkat parlimen berbanding negeri secara menyeluruh, terdapat peningkatan jurang perbezaan undi apabila peneroka Felda mempunyai pilihan untuk mengundi PAS dan bukannya DAP.

Ini dapat dilihat dalam trend pengundian di Bentong, Cameron Highlands, Padang Besar dan Labis.

Di Bentong, undi Felda memihak calon DAP di DUN Bilut, Ketari dan Sabai kerusi yang meningkat secara purata sebanyak 3.6 peratus berbanding undi untuk DAP di peringkat Parlimen.

Walau bagaimanapun, bagi kerusi DUN Pelangai di mana Pakatan Rakyat meletakkan calon PAS, bilangan undi Felda kepada pembangkang meningkat sebanyak 13 peratus.

Peneroka seperti Suhaimi Malik, 49, berkata, DAP tidak dialu-alukan di Felda.

"Tidak perlu untuk DAP (ke sini), mereka hanya kacau, " kata Suhaimi.

Sehubungan itu, Ahmad Atory percaya HARAPAN akan bergantung kepada parti serpihan PAS, AMANAH untuk mendapatkan sokongan di kubu kuat Felda itu.

"Tetapi AMANAH sebuah parti baru. Ramai yang datang ke majlis mereka di Felda dengan BERSATu, mereka masih mencari sokongan," katanya.

AMANAH juga berdepan masalah persepsi di Felda.

Seorang peneroka, Hassan Ismail, berkata AMANAH berada di bawah telunjuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Dengan hubungan antara PAS dan BERSATU, dan juga dengan PKR masih tergantung, HARAPAN pasti akan bergelut mengekalkan sokongan di kalangan peneroka Felda yang berhaluan pembangkang tanpa sokongan parti Islam itu.

Ahmad Atory berkata BERSATU mungkin mampu mencuri sedikit sokongan Umno - tetapi tidak cukup untuk meraih kemenangan.

Adakah undi Felda memberi kesan kepada kawasan anda? Semak dengan perisian Malaysiakini di sini:

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS