Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan keupayaan dua projek mewah yang disokong kerajaan di Langkawi, terutamanya Hotel St Regis, untuk menjana keuntungan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau mampu menguruskan hotel dengan lebih menguntungkan.
Walau bagaimanapun, butiran mengenai prestasi kewangan hotel itu sejak dibuka pada 2016 masih belum diperolehi.
Rafizi mendakwa St Regis Langkawi, yang menurutnya, menerima pelaburan Putrajaya lebih RM300 juta, mengalami kerugian berterusan sejak majlis pecah tanah hotel itu pada tahun 2013.
"Saya juga boleh membuat perniagaan hotel seperti ini, saya fikir ia akan menjadi lebih menguntungkan.
"Saya boleh membuat keuntungan berbanding kerugian berterusan (oleh St Regis Langkawi)," katanya pada sidang media di bilik media Parlimen petang ini.
St Regis Langkawi adalah usaha sama antara kerajaan pusat dengan kumpulan Rajawali Indonesia.
Menurut jawapan bertulis Parlimen Kementerian Kewangan minggu lalu, hotel itu disiapkan pada Oktober 2015, dan laporan berita menyatakan ia dibuka pada April tahun lalu.
Penyata kewangan daripada Suruhanjaya Syarikat yang dibekalkan oleh Rafizi untuk Intergrated Nautical Resort Sdn Bhd - syarikat usaha sama yang menguruskan St Regis Langkawi - menyatakan bahawa pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2015, hotel itu tidak menjana sebarang pendapatan.
Sebaliknya, ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.7 juta pada tahun 2015, dan kerugian bersih sebanyak RM3.7 juta pada tahun 2014.
Laporan kewangan 2015 telah dibentangkan pada bulan Jun 2016.
Rafizi berkata "laskar siber Umno" mungkin akan mendakwa bahawa hotel itu belum beroperasi sepenuhnya.
"Tetapi jika St Regis Langkawi belum beroperasi sepenuhnya, ini menimbulkan soalan sama ada mereka boleh menjana pendapatan yang cukup untuk membayar pinjaman dan hutang mereka," katanya.
Rafizi berkata St Regis Langkawi telah menerima pinjaman RM247 juta daripada Bank Pembangunan.
Sementara itu, Rafizi juga membidas projek Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), yang juga adalah usaha sama antara Putrajaya dan kumpulan Rajawali.
LICC siap pada Februari 2015 dan mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.6 juta pada tahun itu, tetapi rugi bersih syarikat itu adalah sebanyak RM1.9 juta.
Rafizi berkata pusat konvensyen itu sepatutnya mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik, kerana sidang kemuncak Asean diadakan di Langkawi pada tahun itu.
"Bukan setiap tahun kita akan ada sidang kemuncak peringkat tertinggi, jadi sepatutnya 2015 menunjukkan keputusan yang lebih baik.
"Jadi walaupun dengan adanya sidang kemuncak Asean, mereka gagal membuat keuntungan, bagaima pula untuk tahun-tahun lain?" soalnya.
Rafizi mendakwa kerajaan menguasai 60 peratus pegangan dalam kedua-dua St Regis Langkawi dan LICC, manakala baki 40 peratus dimiliki oleh bos kumpulan Rajawali, Tan Sri Peter Sondakh.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan membayar 90 peratus dalam kedua-dua projek itu, melalui suntikan RM379 juta, manakala Sondakh hanya mengeluarkan RM41 juta bagi mendapatkan pegangan 40 peratus.
