Tindakan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) menggunakan perkataan "pondan" di Dewan Rakyat semalam dikritik rakan separtinya sendiri hari ini.
Seorang daripadanya ialah Teo Nie Ching (DAP-Kulai) berkata istilah itu tidak wajar sama sekali diungkapkan oleh sesiapa.
"Jika anggota parlimen BN menggunakan perkataan itu, kita minta mereka tarik balik. Jadi semalam saya hantar mesej teks kepada Lip Eng dan menasihatinya supaya tarik semula perkataan itu.
"Pada pendapat saya, perkataan itu tak patut. Ungkapan pondan, separuh jantan buat saya tak selesa. Ia bersifat diskriminasi dan tidak sensitif," katanya di lobi parlimen hari ini.
Kata Teo, perkataan itu tidak patut digunakan dalam kehidupan seharian dan lebih lagi di Dewan Rakyat.
Semalam Lip Eng bertekak dengan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) selepas ketua penerangan Umno itu menyindir Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).
Annuar kemudian enggan memberi ruang kepada Kit Siang mendapatkan penjelasan berkaitan kata-katanya, mendorong Lip Eng bangkit dan mengeluarkan beberapa perkataan kesat.
Bagaimanapun hari ini Lip Eng sudah menarik balik kata-katanya di Dewan Rakyat.
"Semalam saya menggunakan perkataan kurang elok ke atas Ketereh. Hari ini saya ingin menarik balik perkataan tersebut dengan izin speaker," katanya.
Kenyataan itu disambut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan teguran ke atas Lip Eng supaya tidak membangkitkan apa yang sudah berlaku.
"Apa yang berlaku (semalam) adalah (semalam). Jadi jangan bangkitkan hal-hal (semalam) kepada saya sekarang. Kalau tidak, perkara-perkara tahun lalu pun akan ada orang bangkitkan (semula)," katanya.
Seorang lagi yang mengecam penggunaan kata pondan ialah Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).
