Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak Rohingya rayu k'jaan Selangor jangan roboh sekolah

Kerajaan Selangor digesa menyediakan alternatif dan bukan merobohkan sekolah yang ditubuhkan untuk memberi pendidikan kepada anak-anak yatim dan kanak-kanak etnik Rohingya, kata pengerusi NGO Serantau Muslim, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan dua notis dikeluarkan kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Petaling yang mengarahkan sekolah berkenaan- Knowledge Garden Learning Center dikosongkan atau berisiko dirobohkan.

"Di saat seluruh rakyat Malaysia menzahirkan bantahan terhadap kekejamanan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya, kerajaan Selangor mengeluarkan satu arahan untuk robohkan sekolah etnik Rohingya," katanya yang mendakwa mewakili etnik Rohingya.

Mengakui tanah yang diduduki dimiliki kerajaan negeri, Raja Ahmad bagaimanapun membangkitkan slogan kebajikan yang diuar-uarkan kerajaan Selangor.

"Memang mereka bukan anak Selangor. Tetapi di mana konsep kebajikan yang diuar-uarkan kerajaan Selangor.

"Jangan laung isu kebajikan tapi double standard, berkebajikan untuk pihak-pihak tertentu sahaja," katanya dalam sidang media di Serdang hari ini.

Sambil menegaskan bahawa sekolah itu penting agar kanak-kanak terbabit dapat meneruskan pendidikan, Raja Ahmad berkata kerajaan negeri perlu menyediakan alternatif bagi mereka.

Beliau juga berharap satu pertemuan boleh dilakukan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan isu itu secepat yang mungkin.

"Kita akan bertemu Exco Pendidikan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk membincangkan tentang perkara ini. Sidang DUN Selangor masih berlangsung. InsyaAllah kami akan ke sana bagi membawa suara kanak-kanak Rohingya," katanya.

Pada sidang media itu, seramai 20 kanak-kanak sekolah Rohingya lengkap berpakaian seragam sekolah, memegang sepanduk menggesa kerajaan negeri "menyelamatkan sekolah mereka".

Mereka turut menjelaskan mengenai cita-cita seperti ingin menjadi doktor, pada sepanduk yang dibawa.

Sekolah tersebut pada awalnya ditubuhkan pada tahun 2013 di tapak sebuah sekolah memandu, diketuai seorang etnik Rohingya, Mohd Rafiq Khairul Bashar selaku pengetua.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS