Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Benarkah media putar belit isu perkahwinan bawah umur?
Diterbitkan:  Apr 7, 2017 5:16 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Anggota parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya mendakwa menjadi mangsa putar belit media berkaitan isu rogol dan perkahwinan bawah umur.

Wakil rakyat BN dan bekas hakim Mahkamah Syariah itu bukan sahaya mempertimbangkan tindakan saman tetapi juga meminta wartawan terlibat supaya bertaubat.

Semuanya bermula apabila wakil rakyat Umno itu dilaporkan berkata di Dewan Rakyat bahawa perkahwinan antara perogol dan mangsanya mungkin boleh menyelesaikan masalah sosial.

Beliau antaranya berkata undang-undang membenarkan gadis bawah 16 tahun berkahwin dengan kebenaran mahkamah syariah.

Beliau juga berkata rogol statutori – hubungan seks bawah umur, tidak kira sama ada suka sama suka atau tidak – sebagai jenayah, tetapi tiada peruntukan dapat menghalang mangsa daripada mengahwini pelakunya.

Malaysiakini meneliti semula hansard bertarikh 4 April lalu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berkaitan itu isu.

Berikut apa yang dilontarkan Shabudin di Dewan Rakyat, berdasarkan rekod parlimen.

Perkahwinan dengan perogol

Halaman 82, perenggan 6-7

Shabudin: Isu jenayah seksual, berlakunya persetubuhan haram dengan seorang perempuan di bawah umur 16 tahun adalah boleh ditakrifkan sebagai perlakuan rogol. Maka dalam hal ini, dalam Islam sendiri pun tidak memberikan apa-apa pengecualian.

Maka sekiranya ada apa-apa peraturan undang-undang yang boleh menghukum orang yang merogol, maka undang-undang rogol itu boleh dijalankan. Akan tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mengganggu sekiranya pasangan itu diputuskan ataupun dipersetujui untuk berkahwin kerana tidak salah seorang gadis di bawah umur 16 tahun bersabit dengan rogol, dia berkahwin dengan orang yang merogolnya. Itu dari segi undang-undang perkahwinan tidak ada apa-apa kesalahan.

Halaman 85, perenggan 5-7:

Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh]: Yang Berhormat Tasek Gelugor, laluan sikit. Laluan sikit Yang Berhormat Tasek Gelugor. Tadi rogol atau berzina? Kalau zina dia consensual. Dia bersetuju tetapi rogol ini dipaksa. Itu kesalahan jenayah besar.

Shabudin: Betul. Okey, saya terima. Masalah dia zina kah, masalah dia rogol kah, yang paling penting ialah apabila mereka melalui satu proses keinsafan. Proses mereka bertaubat. Orang berzina, orang rogol ini kesalahannya tetap kesalahan jenayah. Akan tetapi mereka ini mempunyai satu peluang. Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan lain yang lebih sihat, yang lebih baik. Seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin, dia tidak akan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh menjadi suami dia pada ketika itu. Itu adalah satu remedi kepada masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita.

Perkahwinan bawah umur

Halaman 82, perenggan 1:

Shabudin: Cuma dalam hal ini, bagi satu keperluan mashalih mursalah dan juga maslahat umum maka ada satu lagi peruntukkan ataupun klausa dalam seksyen 18 yang memperuntukkan bahawa bagi kes-kes tertentu di bawah umur 16 tahun bagi seorang gadis apabila ianya perlu dikahwinkan, maka ia mestilah mendapat terlebih dahulu kebenaran daripada Mahkamah Syariah.

Halaman 84, perenggan 8-9:

Shabudin: Cuma di sini apa yang perlu kita ambil perhatian ialah bukan masalah bila kita katakan umur di bawah 16 tahun itu kita kata kanak-kanak itu tidak matang. Seorang gadis ini, kematangannya apabila sampai umur baligh, umur 9 tahun sudah matang dan biasanya kadang-kadang ada kes. Macam tadi, kita kata umur 12 tahun ataupun umur 15 tahun, kita tak nampak lagi macam mana fizikal tubuh badannya. Sebab ada anak yang berumur 12 tahun atau 15 tahun pun tubuh badannya pun sudah menunjukkan dia seolah-olah macam gadis berumur 18 tahun.

Jadi, dalam hal ini tidak mustahil kalau dia dikahwinkan dan dia sudah mencapai akil baligh daripada umur 9, dia umur 12 tahun dengan keadaan mungkin tubuh badan yang sama seperti umur 18 tahun, maknanya dari segi fizikal dan juga dari segi spiritualnya juga tidak menjadi satu halangan untuk dia berkahwin.

Pembaca juga boleh menyemak hansard penuh Shabudin di halaman 81 hingga 87 di pautan ini ketika beliau membahaskan perkara itu.
 

Lihat Komen
ADS