Politik wang: Seorang lagi naib presiden didakwa terbabit
Seorang naib presiden dan enam calon Majlis Tertinggi (MT) yang menang besar dalam pemilihan Umno tahun lalu, didakwa oleh seorang pemimpin Umno bahagian, terbabit dalam politik wang, dalam suratnya kepada pimpinan tertinggi parti itu dan Lembaga Disiplin Umno.
Seorang naib presiden dan enam calon Majlis Tertinggi (MT) yang menang besar dalam pemilihan Umno tahun lalu, didakwa oleh seorang pemimpin Umno bahagian, terbabit dalam politik wang, dalam suratnya kepada pimpinan tertinggi parti itu dan Lembaga Disiplin Umno.
Dalam suratnya itu, Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Krai, Datuk Sayed Mohd Ali Saifuddin Sayed Yaacob, turut menamakan tiga lagi calon naib presiden dan enam calon MT yang tewas dalam pemilihan itu, yang didakwanya turut terbabit dalam perbuatan membeli undi.
Ketika dihubungi malaysiakini semalam, Sayed Mohd Ali Saifuddin mengesahkan bahawa beliau menulis surat tersebut, tetapi enggan mendedahkan isi kandungannya, dengan alasannya "ianya adalah untuk perhatian pemimpin tertinggi parti kerana ia adalah urusan dalam keluarga Umno".
Menurutnya, beliau menghantar surat tersebut pada 27 Jun lalu, iaitu kira-kira dua bulan selepas tamat tarikh akhir membuat aduan mengenai politik wang kepada Lembaga Disiplin Umno.
Surat tersebut dihantar kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen.
Manakala salinannya dihantar kepada Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan lapan orang ahli MT Datuk Abdul Rahman Bakar, Datuk Zahid Hamidi, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, Datuk Dr Awang Adek Husin, Datuk Seri Hilmi Yahya, Datuk Annuar Musa, Datuk Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Noh Omar.
Menurut Sayed Mohd Ali Saifuddin, niat beliau mengutus surat tersebut kepada Abdullah adalah untuk mendapatkan satu garispanduan yang jelas "mengenai apa yang calon boleh dan tidak boleh buat sewaktu pemilihan parti".
"Permintaan saya ada berkaitan dengan pemilihan Umno yang lalu. Itu sahaja yang saya boleh beritahu. Saya tidak boleh dedah kandungannya. Tindakan disiplin boleh diambil terhadap saya jika saya dedahkan pada surat khabar.
Tegak keadilan
"Kita tidak boleh mengadu kepada akhbar kerana kita ada saluran yang betul. Kita dah nampak apa yang berlaku pada (Ketua Umno Kota Bharu) Datuk Zaid Ibrahim (yang bercakap melalui media)...Ini adalah masalah keluarga Umno. Perkara ini perlu diselesaikan antara ahli keluarga," katanya.
Ditanya sama ada surat yang dihantarnya itu tidak disenangi oleh kalangan ahli Umno, beliau berkata "Kita kalau hendak tegak keadilan, kita tidak boleh takut pada sesuatu...yang penting kita dapat beri mesej."
Sayed Mohd Ali juga menegaskan bahawa beliau tidak menyebelahi mana-mana calon, baik yang kalah ataupun yang menang dalam pemilihan Umno tahun lalu.
Salinan surat tersebut yang diperolehi oleh malaysiakini, turut menamakan dua calon naib presiden, termasuk seorang menteri besar, yang didakwa oleh Sayed Mohd Ali Saifuddin terbabit dalam pembelian undi.
Dalam surat tersebut, seorang calon yang memenangi jawatan naib presiden didakwa telah membenarkan ejennya untuk membahagikan wangtunai RM200 dan RM400 kepada perwakilan di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur.
Penulis surat itu turut menamakan lima orang pemimpin Umno bahagian dari Kelantan yang menjadi saksi terhadap kepada pembahagian wang tersebut.
Surat itu juga mendakwa, seorang ketua penerangan Umno bahagian yang menjadi ejen kepada naib presiden tersebut, telah memberi RM3,000 kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Kelantan di Hotel Istana di Kuala Lumpur.
Naib presiden itu juga didakwa membenarkan ejennya membahagikan wang RM300 di rumah seorang ketua Umno bahagian dan lima perwakilan lagi dari Kelantan.
Taklimat politik
Sementara itu, seorang calon naib presiden, didakwa memberikan wang sebanyak RM300 seorang, kepada perwakilan dari sebuah bahagian Umno, selepas beliau berucap kepada perwakilan di Batu 2, Kota Bharu.
Calon berkenaan juga didakwa semasa memberi taklimat politik di Kuantan telah membayar, melalui ejennya, bilik penginapan mereka yang hadir, di hotel Grand Continental, Kuantan serta wang tunai RM300.
Seorang lagi calon naib presiden, didakwa telah membenarkan ejennya yang nama mereka turut disebut dalam surat tersebut memberi RM150 hingga RM200 seorang, kepada perwakilan dari Kelantan.
Manakala seorang lagi calon naib presiden, didakwa memberikan RM500 kepada perwakilan dari Kelantan di Hotel Grand Continental di Kuala Lumpur. Malah, penulis surat tersebut juga mendakwa, ejen calon naib presiden itu berjumpanya untuk ditawarkan RM3,000 tetapi beliau tidak menerimanya.
Dalam surat itu juga, penulisnya mendakwa, enam calon MT yang menang dalam pemilihan parti tahun lalu, termasuk pengerusi Umno negeri, menteri dan timbalan menteri, telah membahagikan wang antara RM200 hingga RM1,500 melalui ejen-ejen mereka kepada perwakilan.
Menurutnya, seorang menteri besar bertanding jawatan MT melalui ejennya telah membahagikan RM1,500 kepada setiap perwakilan di rumah seorang ketua Umno bahagian semasa membuat lawatan kerja ke Kelantan.
Sementera itu seorang menteri pusat yang bertanding kerusi MT didakwa memberi wang RM1,000 kepada ejen dan RM500 kepada perwakilan melalui seorang timbalan ketua Umno bahagian.
Bayar melalui ejen
Seorang bekas ketua menteri turut didakwa membahagikan RM300 melalui ejennya di belakang Mahkamah Kota Bharu.
Seorang timbalan menteri melalui ejennya, seorang ketua Umno bahagian telah membahagikan RM300 seorang kepada perwakilan yang menghadir taklimat. Bagaimanapun, timbalan menteri dan seorang lagi calon yang merupakan bekas pengerusi perhubungan Umno negeri tidak hadir.
Sementara itu, seorang ketua menteri melalui ejennya,didakwa telah memberi RM200 di Hotel Perdana di Kota Bharu.
Manakala seorang calon MT yang kalah telah membenarkan ejennya memberi RM500 semasa beliau melakukan lawatan ke Kelantan.
Seorang calon dari Sabah telah membenarkan ejennya datang ke Kelantan serta didakwa telah membahagikan RM200 seorang di sebuah chalet di Machang.
Seorang lagi calon MT dari Sabah didakwa membenarkan ejennya membahagikan RM200 seorang bertempat di Lundang, Kota Bharu.
Seorang calon yang lain dari Sabah juga didakwa telah membenarkan ejennya membahagikan RM300 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Manakala penulis itu mendakwa, lima calon MT yang tewas dalam pemilihan parti tahun lalu telah membayar wang melalui ejen mereka antara RM200 hingga RM500 kepada perwakilan, sebahagian besarnya didakwa berlaku di Kelantan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.