Kegagalan mencapai matlamat 30 peratus penyertaan orang Melayu dalam bidang ekonomi bukan kerana kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tetapi kerana perbuatan mereka yang diberi amanah tetapi lebih mementing keuntungan jangka pendek, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, mereka tidak menggunakan peluang dan amanah tersebut untuk meningkatkan pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi, tetapi sebalik mereka menyalahgunakannya kerana mahu cepat untung.

Akibatnya, kata beliau, permit, saham, kontrak dan kemudahan yang disediakan untuk orang Melayu, diserahkan kepada bukan bumiputera.

"Setelah itu mereka meminta peluang baru bagi kali kedua, ketiga, keempat dan seterusnya," katanya dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Seramai 2,533 perwakilan menghadiri perhimpunan yang ke 56 sehingga Sabtu ini.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata jika ketirisan ini tidak berlaku, pada hari ini orang Melayu telahpun berjaya mencapai matlamat 30 peratus penyertaan dalam bidang ekonomi.

"Agenda ekonomi ini tidak akan tercapai selamanya jika keadaan ini dibiarkan terus berlaku...kita mesti berani laku pembetulan secara tegas.

"Kita tidak akan berjaya jika kita tidak pupuk budaya ikut merit dan prestasi... dan kita perlu membetulkan kesilapan yang berlaku...mesti ada azam politik dan tegas melakukan pembetulan untuk menguatkan orang Melayu.

"Jika kita terus melayan mereka yang hanya tahu menggunakan jalan belakang, kita sebenarnya menyuburkan budaya yang akan merosakkan bangsa," katanya.

Bina budaya baru

Sebaliknya, kata beliau, orang Melayu mesti membina budaya baru yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa berteraskan kepada merit dan prestasi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya keadaan ini ditangani dengan minda dan wadah perjuangan baru demi menjaga maruah bangsa dan semangat yang diperjuangkan oleh Umno.

Abdullah menegaskan bahawa Umno tidak boleh menipu orang Melayu dan mengadakan apa yang tidak ada, kerana pembangunan orang Melayu tidak boleh dibuat di atas kepalsuan.

Oleh itu, katanya, amalan pemberian lesen, permit dan projek tanpa merit dan tidak bersandarkan kepada prestasi adalah satu pembaziran dan mesti diberhentikan.

"Ini satu yang tidak adil dan tidak boleh diteruskan...kita tidak boleh tutup mata...ini budaya yang boleh memusnahkan bangsa dan menjatuhkan negara. Mesti kita hentikan...," tegasnya.

Dalam ucapan dasar bertemakan "Lonjakan Perkasa Bangsa" selama kira-kira satu setengah jam itu, Abdullah berkata, pada masa lalu "ada di antara kita yang menerima terlalu banyak bantuan dan peluang.

"Ada juga yang menerima bantuan dan peluang terlalu sedikit. Ada pula yang tidak langsung mendapat bantuan atau peluang.

"Ini tidak adil. Ini jauh dari saksama. Ini sama sekali tidak boleh diteruskan. Ini perlu dihapuskan dari kamus amalan kita," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan yang mungkin mengaitnya dengan isu pemberian AP.

Peranan GLC

Mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Abdullah mahu ia menggerakkan peranan yang besar dalam agenda pembangunan bangsa Melayu.

Sehubungan itu, katanya, program vendor dan perolehan GLC akan ditambahbaik untuk memberi lebih banyak peluang kepada vendor-vendor Bumiputera yang tulen dan kompeten, cekap, berkemampuan dan berdaya saing.

GLC juga diminta menerajui sektor-sektor baru, merintis usaha membuka jalan kepada penyertaan sektor swasta Bumiputera, memberi penekanan kepada pembangunan modal insan terutama membantu perkembangan dan pembangunan Bumiputera dalam bidang profesional, pengurusan dan pentadbiran.

Menurutnya, orang Melayu perlu mencari sumber kekayaan baru terutamanya dalam sektor-sektor yang telah lama mereka bertapak dan mempunyai kelebihan, antaranya pertanian, perikanan dan industri yang berkaitan kerana sektor-sektor itu mampu memberi jaminan pulangan untuk jangka masa panjang, kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, orang Melayu juga perlu mengubah minda dan penilaian terhadap penggunaan kaedah baru, seperti kaedah bioteknologi, dalam meraih potensi yang lebih besar.

Rancangan Malaysia Ke-9

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdullah berkata, beliau telah menetapkan 10 strategi di bahwa Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) Abdullah untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara di peringkat nasional dan global, dengan tumpuan kepada perisian serta pembangunan modal insan.

Strategi-strategi tersebut ialah membina ekonomi berasaskan pengetahuan; memperkukuh asas dan fundamental ekonomi negara serta meneroka bidang-bidang pertumbuhan baru, memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam; meningkatkan integriti dan membasmi rasuah di setiap peringkat; meningkatkan kualiti hidup rakyat; membasmi kemiskinan tegar; merapatkan jurang pendapatan dan jurang pembangunan; meningkatkan keupayaan sumber tenaga manusia; dan, membina sebuah negara bangsa yang aman, stabil, makmur serta bersatu padu.

Menurutnya, walaupun menghadapi saingan sengit daripada kuasa-kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, Jepun dan India, Malaysia masih merupakan antara negara perdagangan utama dunia.

Berdasarkan perangkaan tahun 2004, katanya Malaysia berada di tangga ke-18 dunia dari segi eksport manakala import di tangga ke-20 dengan dagangan import dan eksport bernilai RM882 bilion.

Berdasarkan Laporan Deutsche Bank mengenai potensi pertumbuhan 34 negara maju dan sedang membangun bagi tempoh 2006-2020, Malaysia diktiraf sebagai negara kedua terpantas membangun selepas India dan mengatasi China.

Dari segi destinasi pelaburan langsung asing (FDI) pula, katanya, Malaysia merupakan antara 15 negara utama dan menduduki tangga ketiga dunia sebagai lokasi penyumberan luar.

Manakala Laporan AT Kearney dan majalah Foreign Policy pula meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara dari Asia yang tersenarai dalam 20 negara paling global.

"Kedudukan Malaysia seperti ini adalah potensi besar negara kita. Kita mesti cepat mengambil peluang, merebut dan cepat bertindak, bersedia dan sanggup bersaing dan meraih nikmat sebanyak mungkin," kata Perdana Menteri