Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arul Kanda tak setuju pembatalan perjanjian - sumber
Diterbitkan:  May 9, 2017 9:12 AM
Dikemaskini: 1:19 AM

Arul Kanda Kandasamy mungkin agak diplomatik apabila bercakap mengenai penggugurannya daripada jawatan penting dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd, tetapi spekulasi mengenai sebab-sebab sebenar di sebalik ini kekal bertiup kencang.

Menurut The Insight Malaysia, kedudukan Arul Kanda, yang juga Presiden 1MDB, menimbulkan "konflik kepentingan" dalam syarikat.

Namun, sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa sebab sebenar di sebalik nasib Arul Kanda adalah kerana bantahannya terhadap pembatalan perjanjian Bandar Malaysia dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC).

"Secara tidak langsung, beliau menentang pembatalan itu. Beliau berpendapat ini adalah tidak wajar," kata sumber itu.

Menurut sumber itu, perjanjanjian usaha sama bagi membangunkan Bandar Malysia bernilai RM7.41 bilion itu ditamatkan tanpa memaklumkannya kepada Arul Kanda, yang adalah seorang ahli lembaga bagi kedua kedua-dua syarikat - Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd.

Apabila disoal oleh Malaysiakini sama ada dirinya membantah pembatalan perjanjian tersebut, Arul Kanda enggan mengulas.

Masalah sebenar?

Pembatalan perjanjian Bandar Malaysia itu dianggap satu kejutan di kalangan tokoh perniagaan kerana keputusan dibuat secara tiba-tiba meskipun ia dimeterai dengan penuh kemeriahan pada tahun 2015.

Malah, Prdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya dijadualkan melawat tapak projek itu - yang terletak di bekas lapangan terbang Sungai Besi dan bakal menjadi hab pengangkutan dan zon perdagangan bebas digital - Rabu lalu, tetapi dibatalkan tanpa sebarang alasan.

Pada hari sama, pemilik tanah TRX City Sdn Bhd mengumumkan bahawa perjanjian dengan konsortium IWH-CREC telah luput kerana mereka tidak memenuhi obligasi pembayaran untuk kepentingan 60 peratus dalam Bandar Malaysia.

Konsortium itu bagaimanapun mempertikaikan kenytaan tersebut.

Bagi Arul Kanda, mengikut kata-katanya kepada wartawan, semalam, kedua-dua Bandar Malaysia Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd kini mempunyai pemilik baru - Menteri Kewangan Diperbadankan - dan bahawa mereka mempunyai hak untuk memilih sesiapa yang mereka mahu untuk menganggotai lembagai pengarahnya.

Arul Kanda masih kekal sebagai presiden 1MDB - firma pelaburan negara bergolak yang membeli tanah prima daripada kerajaan persekutuan pada harga rendah dan bakal dipasarkan sebagai Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX).

Dalam usaha menyelesaikan tunggakan hutangnya yang bernilai berbilion ringgit, 1MDB cuba untuk melupuskan aset firma berkenaan, termasuk Bandar Malaysia.

Arul Kanda dibawa untuk mengambil tampuk pentadbiran 1MDB pada Januari 2015, pada ketika firma itu bergelut untuk membayar balik hutangnya.

Lihat Komen
ADS