Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Macam mana nak keluar 6 kotak?'
Diterbitkan:  May 16, 2017 10:45 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Pemimpin Parti Bebas Rasuah, Datuk Ezam Mohd Nor, mempertahankan keputusannya tidak mendedahkan kandungan "enam kotak" yang didakwanya bahan bukti amalan rasuah pegawai kerajaan pada 1998.

Bercakap pada majlis forum mengenai 1MDB di Petaling Jaya malam tadi, Ezam berkata, ia berkaitan dengan masalah meletakkan keutamaan di kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

"Macam mana saya nak keluarkan enam kotak? Baru keluar dua helai, sudah kena duduk di Penjara Kajang," katanya merujuk kepada hukuman yang dikenakan kepadanya kira-kira 15 tahun lalu.

Pada 2002 Ezam dihukum penjara dua tahun kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi selepas membuat pendedahan didakwa amalan rasuah membabitkan Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Rafidah adalah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Rahim pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ezam adalah salah seorang setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berada dalam kerajaan. Selepas penyingkirannya, Ezam dilantik sebagai ketua pemuda PKR.

Beliau kemudian menyertai Umno semula sebelum keluar sekali dan menubuhkan Parti Bebas Rasuah bersama seorang bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan baru-baru ini.

Ezam dikaitkan dengan isu "enam kotak" itu selama hampir dua dekad kerana pernah mendakwa memilikinya, namun ia tidak pernah didedahkan.

Katanya, bagi kebanyakan orang Melayu keutamaan mereka adalah salah kerana tidak meletakkan amalan rasuah sebagai sesuatu yang sangat penting.

"Keutamaan kita adalah salah, premis kita salah. Sepatutnya premis kita kena betul," katanya.

Ezam juga menceritakan bagaimana dia membuat keputusan meletak jawatan di Kementerian Kewangan.

Katanya, ia bermula selepas dipanggil oleh Datuk Seri Najib Razak - yang juga menteri kewangan apabila bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang kerajaan.

"Dia (Najib) kata, we have problems now. Ini bekas PM sendiri buat serangan terbuka. Macam mana nak lawan?

"Saya kata, Dr Mahathir sebut 20 perkara, anda jawablah. Kalau tak dapat jawab 20, 10 saja cukup, sebab Dr Mahathir tak campur politik.

"Tapi Najib tak jawab. Strategi dia, jangan jawab dan alihkan perhatian. Lalu pada masa itu setiap malam Buletin Utama bantai Dr Mahathir supaya dia nampak sebagai orang jahat.

"Itu kerja bodoh. Itulah kali terakhir saya dipanggil. Sebab itu saya cabut. Buat apa saya tunggu di Kementerian Kewangan," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS