Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS dakwa dasar DAP punca perjudian bercambah
Diterbitkan:  Jun 13, 2017 8:49 AM
Dikemaskini: 12:58 AM

PAS Pulau Pinang mendakwa kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di Pulau Pinang adalah berpunca daripada dasar dan pendekatan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Safuan Ujar berkata, pendekatan kapitalisme yang menjadi antara tunjang pemerintahan kerajaan DAP hanya mengutamakan keuntungan dan perolehan kewangan tanpa melihat kesan ke atas aspek sosial masyarakat.

“Kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di negeri ini dilihat berpunca daripada dasar dan pendekatan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Bahkan, tidak ada bezanya DAP dengan pemerintahan BN yang juga berpaksi sedemikian.

“Dalam konteks ini, kerajaan persekutuan yang diterajui BN meluluskan lesen judi, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP pula adalah pihak pemberi ‘kemudahan’ lesen premis,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Harakahdaily.

Hubungan PAS bersama DAP berakhir selepas pilihan raya umum 2013, meskipun wakil tunggal PAS, Datuk Mohd Salleh Man yang mewakili DUN Permatang Pasir di Pulau Pinang masih menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan negeri.

Seperti di Selangor, pembangkang, khususnya Umno menggunakan isu perjudian bagi menyerang kepimpinan Pakatan Harapan meskipun mereka berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menutup atau menyita sebarang pusat perjudian.

Ini atas alasan tanggungjawab mutlak untuk berbuat demikian terletak pada pasukan polis persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Safuan mendakwa, kemudahan lesen premis pusat hiburan berunsurkan perjudian menyebabkan kegiatan perjudian di negeri ini umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Malah, katanya, situasi itu tidak termasuk perjudian secara tersembunyi yang berselindung di sebalik aktiviti perniagaan yang mana kegiatan dan taktik tersebut semakin berleluasa serta bukan lagi satu rahsia.

“Peniaga berani ‘mengambil kesempatan’ itu kerana kerajaan yang memerintah pun seperti itu. Jika berlaku tangkapan atau tindakan undang-undang, akhirnya hanya membawa kepada saman.

“Mereka terlebih mampu untuk bayar dan setelah itu, sama ada kegiatan diteruskan, atau mereka akan memohon lesen sah,” katanya.

Ahmad Safuan berkata, keadaan itu juga menjelaskan mengapa serbuan dan tangkapan polis terhadap operasi premis berkenaan di negeri ini meningkat tahun ini sehingga polis dilihat berdepan kebuntuan maksimum.

Ini kerana, katanya, pihak berkuasa itu terpaksa berdepan punca kuasa yang membenarkan kegiatan berkenaan berjalan dan pada masa sama menghadapi kemelut masalah sosial kesan daripada kegiatan perjudian.

Lihat Komen
ADS