Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengusaha kilang sarang burung hadai 105 pertuduhan
Diterbitkan:  Jun 15, 2017 6:15 PM
Dikemaskini: Aug 23, 2023 5:03 AM
  • Nota editor: Pada 1 Julai 2019, Albert Tei dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen Semenyih.


Seorang pengusaha sarang burung walit yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini berdepan dengan 105 pertuduhan di bawah Akta Buruh 1955 dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Tertuduh, pemilik kilang Maxim Birdnest, Datuk Albert Tei, bagaimanapun tidak hadir. Beliau diwakili oleh pengarah operasi syarikat berkenaan, iaitu Pak Wei Chee, yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Secara khusus, Tei didakwa dengan 33 pertuduhan memotong gaji secara tidak sah yang dibuat di antara Disember tahun lalu hingga Februari tahun ini; 11 pertuduhan gagal menyediakan kontrak pekerjaan; 11 pertuduhan gagal menyediakan slip gaji; 22 pertuduhan gagal membayar gaji minimum sebanyak RM1,000 bagi Disember lalu dan Januari; serta 28 pertuduhan gagal membayar kerja lebih masa bagi bulan Disember dan Januari lalu.

Jika sabit kesalahan, Tei boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap pertuduhan, yang berjumlah lebih RM1 juta.

Beliau sebelum itu didakwa melakukan lima kesalahan di bawah kedua-dua akta itu ke atas 11 pekerja Indonesia. Para pekerja itu bekerja di kilang lima tingkat milik Tei yang terletak di Lorong Gudang Nenas 1, Jalan Pasar, Klang.

"Terdapat sejumlah 163 pekerja Indonesia di kilang itu tetapi kami (Jabatan Tenaga Kerja) hanya memilih 11 orang sebagai memberi pengajaran," kata Pegawai Pendakwa Siti Nur Alifah Hairuddin ketika ditemui pemberita kemudian.

Siti Nur Alifah, yang bertindak bagi pihak Jabatan Tenaga Kerja Selangor, berkata majistret Rozianti Mohamed Hanaphi telah menetapkan 13 Julai sebagai tarikh penyerahan dokumen.

Tei ditangkap pada 28 Mac lalu susulan satu serbuan pelbagai agensi yang berlangsung lebih 10 jam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS