Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tindakan Lim Kit Siang menamakan Datuk Husam Musa sebagai bakal menteri besar Kelantan hanyalah pandangan peribadi, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub.

Malah Salahuddin berkata, AMANAH menyerahkan kepada rakyat sendiri untuk menentukan siapa bakal menteri besar Kelantan yang mereka mahu sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Itu pandangan dia (Lim). Untuk pilih siapa menteri besar, biar parti yang menang (dalam PRU) nanti.

"Sesiapa saja boleh namakan sesiapa kerana itu adalah hak individu dan kita tak terikat dengan pandangan itu.

"Mengenai siapa nak jadi perdana menteri, menteri, menteri besar bagi pendapat saya biar rakyat menilai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Ramai yang layak

Lim pada Jumaat lalu dilaporkan menamakan Husam sebagai calon menteri besar Kelantan jika HARAPAN berjaya menawan negeri itu daripada PAS.

Lim melontarkan cadangan itu semasa majlis sambutan hari raya DAP di Kota Bharu.

Teks ucapan semasa majlis berkenaan turut dimuat naik Lim di blognya.

Menurut penasihat DAP itu, beliau mencadangkan Husam kerana mendakwa bekas naib presiden PAS itu dapat menjadi teladan yang baik kepada rakyat di negeri berkenaan.

Ekoran itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa pengumuman Lim itu menunjukkan betapa berkuasanya DAP dalam HARAPAN.

Ditanya sama ada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu memang calon menteri besar AMANAH, Salahuddin berkata terdapat ramai calon lain selain Husam.

"Ramai yang layak. Kita ada kumpulan kepimpinan pada hari ini. Yang penting, kita tidak tonjolkan diri dan bekerja dulu untuk rakyat," katanya lagi.

Mengenai dakwaan bahawa pengumuman Lim membuktikan AMANAH dan Pakatan Harapan 'dikawal' DAP, Salahuddin menafikannya.

Malah, katanya, segala kenyataan yang dikeluar DAP hanyalah pandangan parti berkenaan dan tidak menggambarkan keputusan HARAPAN.

"Takkanlah kami (AMANAH) boleh diperkudakan DAP. Kita ada wibawa sendiri. Kalau semua harus ikut DAP lebih baik dari awal tak tubuh AMANAH, masuk DAP sahaja.

"Pandangan yang diberi oleh kawan-kawan dalam HARAPAN itu tak bermakna kita akan ikut atau mengambilnya sebagai satu keputusan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS