Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pilih Husam jadi MB buktikan DAP ketua sebenar HARAPAN'
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 11:38 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Pengumuman pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa Datuk Husam Musa bakal dilantik sebagai menteri besar Kelantan sekiranya Pakatan Harapan berjaya merampas negeri itu memperlihatkan betapa berkuasanya DAP dan pemimpinnya di dalam pakatan pembangkang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau yang juga adalah timbalan menteri besar Kelantan berkata, kenyataan yang dibuat oleh Lim itu baru-baru ini menunjukkan betapa ganjilnya peranan DAP di dalam Pakatan Harapan meskipun parti itu sendiri tidak ‘wujud’ di Kelantan.

“Apa yang diumumkan beliau membuktikan bagaimana DAP sebenarnya adalah ‘pengarah’ di dalam Pakatan Harapan.

“Saya tidak tahu bagaimana rakyat Kelantan akan menerima,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Pada 30 Jun lalu, Lim pada satu majlis sambutan Aidilfitri di Kota Bharu, mencadangkan Husam sebagai menteri besar Kelantan, jika Pakatan Harapan berjaya menawan negeri itu daripada PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ini adalah kali pertama penasihat DAP itu memberi sokongan terbuka kepada pemimpin AMANAH tersebut.

'Abang Long' Pakatan Harapan

Husam sebelum ini dianggap calon pilihan bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, tetapi kemudiannya dipecat atas dakwaan melanggar disiplin dan tatatertib parti pada Mei 2016.

Ketika itu, Husam lantang mengkritik kepimpinan PAS di bawah presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khasnya di Kelantan.

Sementara itu, akhbar Sinar Harian pula memetik Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, DAP cuba mendahului rakan pakatannya dengan menamakan Husam sebagai menteri besar negeri.

“Itulah sikap sebenar DAP yang PAS sudah lama fahami, jadi sebab itulah kita berpisah dengan mereka kerana kita tahu DAP ini bila merasakan dia kuat, dia akan menguasai yang lain.

“Kalaulah DAP saling menghormati parti-parti lain, dia tidak sewenangnya untuk menentukan mana-mana parti yang layak menjadi menteri besar,” katanya.

Menurutnya, segala telahan PAS selama ini terhadap Pakatan Harapan telah terbukti berlaku ketika ini dan ia boleh dinilai sesama mereka.

“Sekarang Pakatan Harapan dilihat sering bersaing untuk berada di depan, bagi saya, kalau mereka terus dengan sikap ini, masih tidak sesuai untuk mereka menggantikan BN,” katanya.

Utusan Malaysia juga memetik Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, sokongan DAP terhadap Husam sebagai calon menteri besar Kelantan jelas menunjukkan DAP cuba menjadi ‘Abang Long’ dalam Pakatan Harapan.

Katanya, calon menteri besar seharusnya ditentukan oleh rakyat di negeri itu dan bukannya pihak lain.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai cubaan untuk memperbodoh-bodohkan rakyat Kelantan.

“Ini (penentuan calon Menteri Besar) saya sifatkan sebagai satu jenaka politik yang saya yakin seluruh rakyat Kelantan tidak akan terpengaruh.

“Perkara itu juga menunjukkan bahawa DAP kini sedang berusaha mengatur ‘orang-orang’ mereka yang patuh (kepada parti itu) disebabkan mereka tidak bertanding di Kelantan,” katanya.

Lihat Komen
ADS