Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cetek sungguh pemikiran pimpinan AMANAH, kata KM
Diterbitkan:  Jul 4, 2017 4:43 PM
Dikemaskini: Jul 5, 2017 12:06 AM

Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini membidas timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub yang mendakwa tindakan kerajaan negeri ini menghantar peguam ke London berhubung Perjanjian Malaysia 1963 akan mengundang orang luar untuk ”campur tangan” dalam hal ehwal dalaman negara.

“Kenyataan beliau mencerminkan kualiti kepimpinan mereka (Amanah). Cetek sungguh pemikiran mereka. Sukar untuk kita bergantung pada kepimpinan seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jerayawara Lembaga Jurutera Malaysia.

Beliau berkata delegasi Sarawak akan berada di London selama kira-kira seminggu dalam misi mencari fakta untuk meneliti sumber dan dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang membawa Malaya, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak menjadi Malaysia. (Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965 dan menjadi negara sendiri).

Sabtu lepas, Abang Johari berkata Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan mengkaji bahan rujukan berkaitan hak negeri ini mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Pasukan itu akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, syarikat cari gali minyak dan gas luar pantai milik Sarawak akan memulakan operasinya dalam masa enam bulan lagi.

Kerajaan kini dalam proses menubuhkan syarikat berkenaan, Petroleum Sarawak (Petros), 100 peratus milik kerajaan negeri, yang akan bekerjasama dengan syarikat minyak nasional, Petronas, katanya.

Menurut beliau, perkara berkaitan pelaburan awal syarikat itu masih dibincang.

Abang Johari berkata, sebelum ini, syarikat minyak dan gas dari Sarawak hanya terlibat dengan aktiviti minyak dan gas hiliran di Bintulu, dengan pelaburan dianggar berjumlah AS$2 bilion.

Petras, katanya, akan terlibat dalam aktiviti huluan cari gali minyak dan gas serta pengeluaran gas dan minyak di kawasan perairan Sarawak.

Beliau berkata syarikat itu akan menggunakan tenaga profesional daripada kalangan anak Sarawak yang sudah terlibat dalam industri berkenaan, termasuk mereka yang kini bekerja dengan Petronas, Shell dan Murphy Oil.

“Kami ada anak Sarawak yang terdiri daripada jurutera dalam bidang ini dan ini akan memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk bekerja dengan syarikat itu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan holistik dan akan bekerjasama dengan Petronas untuk mencari gali serta mengeluarkan minyak dan gas di perairan Sarawak.

“Tiada gunanya menyalahkan orang lain. Kami perlu gerakkan inisiatif sendiri dan mempersiapkan diri kami untuk terlibat dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata keuntungan yang diraih akan dikongsi antara kerajaan negeri dan Petronas berdasarkan ekuiti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS