Kegagalan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) membayar premium tanah sebanyak RM7.8 juta kepada Pejabat Tanah Kota Setar menyebabkan 177 pembeli lot kedai Simpang Kuala, Alor Star tidak mendapat hak milik masing-masing.

Pengerusi Persatuan Pemilik Kedai Simpang Kuala, Abdul Samad Abdul Karim berkata, kerajaan negeri pula mengambil sikap lepas tangan dan tidak berusaha membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, pembeli kecewa kerana Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sendiri gagal menyelesaikan masalah tersebut sedangkan YINK adalah agensi di bawah kerajaan negeri.

"Kami telah menemui Syed Razak April lalu tetapi sehingga hari ini masalah tersebut belum selesai. Mingu lalu, kami menemui Pemangku Menteri Besar, Datuk Mahadzir Khalid berhubung masalah yang sama," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Mahadzir memberitahu mereka yang beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia sudah lebih 10 tahun berlaku ketika pemerintahan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Osman Aroff.

Abdul Samad berkata, Exco Perumahan kerajaan negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah, juga tidak membuat apa-apa melainkan sekadar membuat janji untuk menyedapkan hati pembeli.

Sebelum ini, katanya, pembeli telah mengadakan perbincangan dengan YINK, Pejabat Tanah Kota Setar serta Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pangsapuri belum bina

Bagaimanapun, tambahnya, pihak-pihak berkenaan berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi sehingga hari ini ia belum dapat ditangani.

Abdul Samad berkata, mereka membeli rumah kedai yang dibina oleh pemaju swasta, Dayani Sdn Bhd itu sejak 10 tahun lalu di Simpang Kuala, kira-kira satu kilometer dari Bandaraya Alor Star.

Projek pembangunan di Simpang Kuala itu, yang membabitkan kawasan seluas 30 ekar, meliputi pembinaan lot kedai, pasaraya, kondominum serta pangsapuri.

Bagaimanapun, sehingga hari ini cuma lot kedai dan pangsapuri yang telah dibina manakala pembinaan pasaraya dan kondominium belum dimulakan lagi.

Menurut Abdul Samad, pemaju membina 101 unit lot kedai dua tingkat dan 98 unit lot kedai tiga tingkat, masing-masing berharga RM258,000 dan RM370,000 seunit.

"Tetapi 42 unit lot belum disiapkan manakala 22 unit lagi yang dikhususkan untuk bumiputera belum dijual dan pemaju menyewakannya kepada pihak lain," katanya..

Beliau berkata, pada mulanya tanah tersebut adalah milik sebuah syarikat swasta tetapi kerajaan negeri mengambilnya untuk pembangunan pada awal tahun 90-an.

Menurutnya, YINK diberi tanggungjawab untuk memajukan kawasan tanah tersebut dengan projek pembangunan bercampur iaitu komersil dan perumahan.

Janji bayar segera

Menurutnya, YINK telah memilih Syarikat Dayani Sdn Bhd, sebuah kontraktor yang berpejabat di Alor Setar untuk menjalankan projek pembangunan di Simpang Kuala.

Bagaimanapun, katanya YINK tidak membayar premium tanah sebanyak RM7.8 juta kepada Pejabat Tanah Kota Setar menyebabkan geran hak milik tidak boleh dikeluarkan.

Abdul Samad berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap YINK dan kerajaan negeri jika mereka terus gagal menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, persatuan sudah menyerahkan perkara tersebut kepada peguam terbabit untuk tindakan selanjujtnya.

Sementara itu, jurucakap YINK ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa pihaknya sedang menyelaraskan proses pembayaran premium tersebut kepada pejabat Pentadbir Tanah Kota Setar.

Katanya, kelewatan YINK membuat pembayaran premium tanah tersebut adalah disebabkan oleh masalah pentadbiran yang dihadapi oleh pihaknya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan masalah tersebut akan dapat diselesaikan tidak lama lagi dan meminta pembeli bersabar.