Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menjelaskan hubungannya dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shahidan mengaku mempunyai hubungan baik dengan Mahathir memandangkan mereka sama-sama bergiat dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Namun, katanya lagi, beliau tetap akan menentang pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan.

Mahathir merupakan presiden Perkim sejak 2006 sehingga kini manakala Shahidan pula memegang jawatan naib presiden dalam pertubuhan itu.

"Tun presiden Perkim, saya naib presiden Perkim. Saya tidak ada masalah dari segi kerja-kerja kesukarelawan dalam Perkim.

"Tun cuba nak jatuhkan Najib. (Ini) bermakna dia nak jatuhkan kerajaan, bererti juga nak menjatuhkan saya kerana saya dalam kerajaan ini.

"Sudah pasti sesiapa yang cuba menjatuhkan kerajaan ini, saya akan tentang habis-habisan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung hubungannya dengan Mahathir ketika ini.

Selain itu, Shahidan yang juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, beliau mempunyai tanggungjawab mempertahankan parti memandangkan beliau sebahagian daripadanya.

Justeru, Shahidan sekali lagi menegaskan bahawa mana-mana pihak yang cuba 'menghentam' BN dan Umno, beliau akan melawan balik.

"Kami tak reda dan rela kerajaan ini diporak-perandakan kerana kerajaan ini memberi keutamaan kepada rakyat.

"Kalau saya tak pertahankan parti saya, saya kena masuk parti lainlah

"Siapa hentam parti saya, saya akan lawan balik," katanya lagi.

Sekarang pun 'nothing to hide'

Sementara itu, diminta mengulas pelawaan Mahathir kepada Najib dalam program Nothing to Hide 2.0, Shahidan berkata perkara itu terpulang kepada perdana menteri untuk menerima undangan tersebut.

"Terpulang pada perdana menteri. Sekarang ini pun kita nothing to hide (tiada apa hendak disembunyikan).

"Semua kita buat satu persatu. Pasal forex kita buat, (suruhanjaya siasatan diraja) RCI (berkaitan kerugian besar Bank Negara akibat urus niaga pertukaran wang asing) kita buka.

“Ini pun nothing to hide," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS