Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M ajak Najib duduk sepentas di Nothing To Hide 2.0

Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Datuk Seri Najib Razak menyertai beliau dalam sebuah forum yang dianjurkan bulan depan bagi menjawab pelbagai persoalan yang akan dibangkitkan.

Melalui program Nothing to Hide 2.0 itu juga, kata Dr Mahathir, beliau akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan kepadanya, termasuk tuduhan berkaitan salah laku dana awam.

"Najib patut hadir sama dan beri jawapan atau buat tuduhan kepada saya.

"Kita akan beri penjelasan kepada semua," kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Jika Najib hadir ke forum itu, kata Dr Mahathir polis tidak akan menghalang majlis itu diteruskan kerana beliau ialah seorang perdana menteri.

Kata pengerusi Pakatan Harapan itu, majlis berkenaan dianjurkan oleh Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam.

Forum pada 13 Ogos itu bermula pada jam 3 petang dan dikendalikan Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Forum tetap berlangsung

Semasa sesi forum itu, Dr Mahathir berkata, beliau bercadang untuk menyoal Najib mengenai isu 'derma' RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri itu.

Nothing To Hide asalnya adalah program dianjurkan untuk Najib bagi membolehkan beliau berinteraksi dengan orang ramai mengenai isu 1MDB pada 5 Jun 2015.

Bagaimanapun, sesi itu tidak berjalan seperti yang dirancang.

Dr Mahathir kemudian membuat kemunculan di PWTC itu dan sempat menyampaikan ucapan ringkas sebelum diarah berhenti oleh polis.

Najib pula tidak hadir atas arahan pihak berkuasa.

Dr Mahathir mendakwa dana RM2.6 bilion itu diambil dari tabungan 1MDB tetapi perdana menteri secara konsisten menafikan beliau terbabit dalam sebarang salah laku.

Dana itu pula kata Najib diperoleh daripada keluarga bangsawan Arab Saudi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan kenyataan Najib dan menolak sebarang kaitan antara perdana menteri dengan sebarang penyelewengan.

Ditanya sama ada penganjur bersedia menerima sebarang tokoh mewakili Najib - seperti Datuk Seri Nazri Aziz - Dr Mahathir berkata, sebelum ini debat dengan menteri itu tidak dibenarkan oleh polis.

Walaupun begitu, kata beliau, tanpa sebarang wakil daripada Najib pun, forum berkenaan akan diteruskan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS