Majikan atau pekerja asing yang telah dikenakan bayaran untuk mendapatkan Kad Penguatkuasaan sementara Jabatan Imigresen (E-kad) hendaklah membuat laporan polis kerana mereka mungkin ditipu.
Ini kerana proses untuk mendapatkan E-kad adalah percuma, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali kepada Malaysiakini.
"Saya ingin tegaskan bahawa untuk pendaftaran E-kad tidak boleh guna agen kerana pekerja dan majikan akan ditipu," katanya ketika dihubungi semalam.
"Lapor kepada pihak polis kes-kes tipu (sedemikian).
"Jabatan Imigresen akan sentiasa membantu," kata Mustafar.
Beliau ditanya mengenai dakwaan majikan dan pekerja asing yang mereka telah membayar ribuan ringgit semasa tempoh pendaftaran E-kad, mulai 15 Februari hingga 30 Jun, kepada pihak ketiga yang tidak didedahkan yang mendakwa sebagai agen yang terlibat dalam proses itu.
Mustafar telah mengumumkan Januari lalu bahawa E-kad akan berfungsi sebagai pengesahan sementara untuk menggantikan dokumen perjalanan yang sah dan permohonan boleh dibuat di semua pejabat imigresen di Semenanjung Malaysia.
Mengulas lanjut, Mustafar berkata bayaran sepatutnya hanya dibuat kepada vendor yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pekerja asing yang telah diluluskan E-kad.
"(Pembayaran) ini adalah untuk proses selanjutnya bagi pengambilan bekerja semula," tambahnya.
Antara lain, bayaran itu termasuk kompaun, caj levi dan bayaran lain yang terlibat dalam pengeluaran permit kerja baru.
Jabatan Imigresen telah melancarkan gerakan memberkas pekerja asing tanpa izin mulai tengah malam 30 Jun lalu.
Pada masa itu, Mustafar berkata hanya 155,680 pendatang tanpa izin yang bekerja untuk 26,957 majikan telah mendaftarkan untuk diambil bekerja semula secara sah di lima sektor iaitu pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.
Jumlah itu mewakili hanya 23 peratus daripada 600,000 kad yang disasarkan oleh jabatan imigresen, katanya.
Penguatkuasaan diteruskan
Sementara itu, Mustafar juga mengesahkan bahawa jabatanmya tidak akan memenuhi permintaan Indonesia supaya tarikh akhir 30 Jun itu dilanjutkan.
"Penguatkuasaan (terhadap pendatang tanpa izin) akan diteruskan.
"Pihak kedutaan Indonesia memahami tugasan dan tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen dan Kerajaan Malaysia," katanya.
Difahamkan keputusan itu disampaikan kepada delegasi dari Jakarta yang dipimpin oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, Sunarno, semasa pertemuan di ibupejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya pada hari Rabu.
Selain permintaan melanjutkan tarikh akhir itu, Merdeka.com (Indonesia) turut memetik permintaan Sunarno supaya Malaysia menimbang semula keputusannya untuk menyenaraihitamkan semua pendatang tanpa izin yang telah diusir, selama lima tahun.
Ia melapor Sunarno sebagai berkata, walaupun jika senarai hitam itu bertujuan untuk menimbulkan ketakutan, tetapi had maksimumnya sepatutnya hanya setahun, sambil menambah bahawa Mustafar telah berjanji untuk menyampaikan permintaan itu kepada kerajaan Malaysia.
Sehingga 18 Julai, dilaporkan 3,787 pendatang tanpa izin telah ditangkap, 963 daripadanya berasal dari Indonesia.
