Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Dari Kajang ke Sungai Buloh - Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini membawa 'ketua pembangkang' menyertai rombongannya bersiar-siar menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang baru memulakan perkhidmatannya 17 Julai lalu.

Jamal yang memang terkenal dengan gimik politiknya menaiki tren MRT dari stesen Stadium Kajang selepas tiba di situ kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

Diiringi beberapa pengikutnya, mereka membawa beberapa replika berupa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

Pada replika itu tertulis ayat: Tq PM kerana menyediakan perkhidmatan MRT dari Kajang ke Sungai Buloh. Mudah la Kak Wan menziarahi suami Kak Wan di Sungai Buloh.

Ia jelas suatu sindiran buat Dr Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini ditahan di penjara Sungai Buloh.

Aksi mempersenda pasangan terbabit bukanlah sesuatu yang baru.

Pada 10 Julai lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menyentuh isu sama melalui Twitternya.

Dengan memuat naik sekeping gambar papan tanda stesen MRT Kajang, Najib mencatat: "The real Kajang Move. Coming to you in seven days" (Langkah Kajang sebenar. Akan datang kepada anda dalam 7 hari).

Membalas kenyataan itu, Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR secara sinis berterima kasih kepada perdana menteri.

Sewa satu gerabak

Langkah Kajang merujuk kepada usaha dilakukan PKR untuk mengetepikan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada jawatannya sebagai menteri besar dan menggantikannya dengan Dr Wan Azizah.

Bagaimanapun, ia gagal apabila akhirnya Khalid digantikan oleh ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Azmin Ali.

Menurut Jamal, mesej yang ingin disampaikannya melalui perjalanan hari ini ialah, Dr Wan Azizah boleh bertemu Anwar tanpa bersusah-payah menghadapi kesesakan jalan raya.

"Boleh naik terus MRT ke Sungai Buloh, itu yang ingin saya sampaikan," katanya dalam nada sindiran.

Sementara itu Jamal menjelaskan, beliau menghabiskan masa lebih satu jam bersama replika Dr Wan Azizah adalah untuk menegaskan perlunya pembangkang berhenti mengkritik kerajaan yang membantu meningkatkan kualiti sistem pengangkutan awam di negara ini.

"Kami hairan melihat politik Pakatan Harapan. Apa yang kerajaan buat begini baik dan indah untuk kegunaan rakyat, mereka cuba tidakkan, malah melemparkan pelbagai tohmahan.

"MRT benda baik ada di depan kita pun mereka fitnah malah mereka lebih percaya lagi fitnah DOJ (Jabatan Kehakiman AS) dan lain-lain," katanya.

Reaksi pengguna

Jamal pada masa sama memperlawa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, untuk turut merasai pengalaman menaiki MRT bersama beliau, dan bukannya terus "membuat fitnah".

Malah untuk memudahkan Rafizi, Jamal turut menawarkan tiket 'istimewa' buat anggota parlimen Pandan itu.

"Saya boleh sediakan tiket perjalanan pergi balik dari Kajang ke Sungai Buloh. Sampai di Sungai Buloh bolehlah Rafizi melawat bos.

"Dan untuk merasai bagaimana canggihnya sistem MRT ini, satu gerabak saya boleh belanja," katanya.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini mendapati rata-rata pengguna MRT tidak selesa dengan kehadiran Jamal dan kira-kira 40 anggota rombongannya.

"Peliklah, tak tahu apa kaitan politik mereka dengan MRT. Ini kan perkhidmatan awam," keluh seorang pelajar universiti awam dengan memek muka tidak senang.

Seorang lagi penumpang MRT berkata dia juga turut hairan dengan aksi Jamal namun tidak mengendahkannya, malah tidak mengenali ketua Umno terbabit.

"Entahlah, apa dia buat pun saya tak tahu. Saya pun tak kenal mereka," kata wanita berusia 40-an itu.

Petugas Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang ditemui Malaysiakini pula berkata apa yang dilakukan Jamal itu tidak wajar.

Kata lelaki berusia 50-an itu, soal pengangkutan awam tidak sepatutnya dicemari dengan politik.

Namun, katanya, ia adalah hak Jamal untuk bertindak mengikut apa yang dirasakannya wajar.

"Tak patutlah campur adukkan politik dengan pengangkutan awam macam MRT ini," katanya ringkas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS