Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM perli PKR dengan 'Langkah Kajang' di Kajang
Diterbitkan:  Jul 10, 2017 11:56 PM
Dikemaskini: Jul 11, 2017 4:56 AM

Selalu menerima kritikan di media sosial bukan bermaksud perdana menteri sendiri tidak boleh mengkritik mahupun menyindir pengkritiknya.

Malam ini, Datuk Seri Najib Razak dilihat memperli langkah politik PKR apabila mengaitkannya dengan projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Semantan-Kajang.

Menerusi satu tulisan berserta gambar di Twitter, kapsyen Najib berbunyi "The real Kajang Move. Coming to you in seven days" (Langkah Kajang sebenar. Akan datang kepada anda dalam 7 hari).

Tweet lucu - mengaitkan Langkah Kajang dengan MRT Kajang itu - turut menerima respon daripada pengguna Twitter.

Salah seorangnya @Kojiozainal yang membalas tweet berkenaan dengan berkata "Amboi Dato padunya perli".

Manakala @Faerull pula berkata, "Banyak-banyak Kajang, Kajang apa yang boleh dimakan? Sate Kajang," katanya.

Pembinaan Fasa 2 MRT laluan Semantan-Kajang sebelum ini dilaporkan hampir siap dan akan dilancarkan Najib pada 17 Julai ini.

Fasa kedua itu akan melengkapkan operasi laluan MRT Sungai Buloh - Kajang sepanjang 51 kilometer.

Manakala Fasa 1 MRT iaitu laluan Sungai Buloh - Semantan sepanjang 20km mula beroperasi Disember lepas.

Sementara itu, Langkah Kajang adalah istilah yang dipopularkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada 2014.

Langkah itu merujuk kepada strategi politik untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada tahun yang sama.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dirancang menggantikan Khalid dan bertanding di DUN Kajang selepas penyandangnya Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi bagi memberikan laluan.

Namun disebabkan kes mahkamah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa bertanding di DUN tersebut dan berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Wan Azizah bagaimanapun tidak berjaya menjadi menteri besar selepas tidak mendapat sokongan PAS.

Sebaliknya sultan Selangor melantik Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar yang baru.

Lihat Komen
ADS