Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli Perak akan sekat pembalak jika tiada perjumpaan
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 8:29 AM
Dikemaskini: 4:09 AM

Penduduk Orang Asli di Pos Piah, dekat Sungai Siput, Perak, sudah bersedia untuk membuat sekatan anti pembalakan sekiranya kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan tidak mengadakan pertemuan dengan mereka untuk membincangkan perkara itu.

Semalam, wakil dari kumpulan itu berkumpul untuk mengemukakan surat kepada pejabat Jabatan Perhutanan Kuala Kangsar, bagi mengadakan pertemuan dalam usaha untuk mencari penyelesaian secara baik terhadap isu tersebut.

Ini selepas komuniti Orang Asli di Gua Musang berdepan dengan pencerobohan pembalak, walaupun terdapat perintah mahkamah yang menghalang pembalakan di sekitar kampung mereka.

Pos Piah terletak di hutan simpan Piah, tetapi tidak jelas sama ada pembalakan telah dibenarkan walaupun terdapat perintah mahkamah.

Ini adalah salah satu isu yang ingin dijelaskan oleh kumpulan itu semasa pertemuan yang dihajatkan itu.

Shazni Bhai, pegawai khas kepada Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj, berkata pejabat MP itu menerima aduan dari pihak Orang Asli minggu lepas.

"Memandangkan pembalakan di kawasan itu telah berjalan selama beberapa bulan sekarang, mereka mahu kami (campur tangan) dan membantu (mengatur) pertemuan dengan Jabatan Perhutanan dan kerajaan negeri Perak.

"Walaupun, dari apa yang saya dengar dari mereka (wakil Orang Asli), pembalakan telah berjalan di kawasan itu sejak tahun 1970-an," kata Shazni ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, Orang Asli bimbang kerana jalan laluan bagi projek pembalakan itu hanya satu kilometer jauhnya dan akan menjejaskan kehidupan mereka.

Masyarakat itu menyara kehidupan mereka daripada hasil penjualan herba dan buah-buahan yang diperolehi di hutan itu.

Mereka juga bimbang kerja-kerja pembalakan itu akan mencemarkan sumber air mereka.

Kira-kira 20 penduduk dari Pos Piah dan Kampung Kembok yang berhampiran sebelum ini bertemu dengan syarikat pembalakan yang mahu membalak tanah rayauan dan membawa perkara itu kepada pihak berkuasa, sejurus selepas itu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Shazni berkata projek pembalakan itu tidak mematuhi prinsip yang berasaskan kepada deklarasi yang disokong oleh kerajaan, seperti Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Hak Orang Asli.

Ini mendorong beliau dan kumpulan Orang Asli untuk menghantar surat kepada Jabatan Perhutanan Kuala Kangsar bulan lepas.

[Baca berita penuh/asal]
 

Lihat Komen
ADS