Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak sepatutnya dihalang ketika menghantar jemputan kepada Presiden Umno semalam, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Presiden BERSATU itu, rombongan berkenaan hanya mahu menghantar jemputan itu kepada Datuk Seri Najib Razak dan ia berbentuk cabaran, bukan ugutan.

Justeru kata Muhyiddin kumpulan Pemuda Umno yang menyekat lalaun Pemuda BERSATU itu sepatutnya bersikap budiman (gentleman).

"Sepatutnya atas dasar kita berhasrat untuk menjemput (Najib) ke sesuatu majlis itu, tidak harus disekat.

"Mereka ini pemuda harapan bangsa, mereka harus bersikap terbuka.

"(Pemuda Umno sepatutnya) menganggap ini sebagai satu cabaran. Bagilah ruang kepada mereka nak serah (jemputan)," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan hasrat Pemuda BERSATU menghantar jemputan kepada Najib bagi menghadiri program Nothing to Hide 2.0 tidak kesampaian apabila suasana betukar kecoh kerana dihalang Pemuda Umno.

Pemuda BERSATU mulanya berarak dari pusat beli-belah Sunway Putra menuju Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum dihalang ratusan Pemuda Umno sehingga berlakunya tolak-menolak.

Dr Mahathir sebelum ini mempelawa Najib untuk hadir ke program Nothing to Hide 2.0 yang dijadual diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 13 Ogos depan.

Pada program berkenaan, Dr Mahathir berhasrat untuk mengajukan pelbagai soalan berhubung dakwaan wang derma RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi kepada Najib.

Nothing To Hide asalnya adalah program dianjurkan untuk Najib bagi membolehkan beliau berinteraksi dengan orang ramai mengenai isu 1MDB pada 5 Jun 2015.

Bagaimanapun sesi itu tidak berjalan seperti yang dirancang apabila ia diarah supaya ditamatkan oleh polis atas faktor keselamatan.

Muhyiddin berkata apa yang berlaku semalam diharap tidak berulang lagi pada masa depan.

"Saya tak fikir itu (boleh) dianggap sebagai satu ugutan. (Pemuda Umno) patut gentleman sikitlah," katanya.

Lihat Komen
ADS