Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika HARAPAN lucu, Najib lebih lucu'
Diterbitkan:  Jul 27, 2017 3:58 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Jika Datuk Seri Najib Razak menganggap struktur kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai suatu kelucuan, bagi pembangkang ada yang lebih lucu daripada itu.

Kata Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul kerajaan pimpinan Najib kini mempopularkan negara di mata dunia dengan pelbagai isu negatif, termasuk 1MDB.

Katanya, kerajaan hari ini diketuai barisan kepimpinan yang tidak segan silu melakukan sesuatu perkara yang buruk sewenang-wenangnya.

"Masih ingatkah pada Februari 2012, Najib telah menyatakan bahawa setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik hendaklah disalurkan melalui akaun rasmi parti.

"Tetapi Najib sendiri tidak mengikut apa yang dikatakannya, malah menerima derma RM2.6 bilion (ke akaun persendirian) daripada sumber yang tidak mahu diperjelaskan secara terperinci kepada umum.

"Tidakkah ahli Umno dan BN berasa malu mempunyai presiden seperti ini?

"Mengapa rakyat Malaysia patut dipimpin oleh seorang perdana menteri seperti ini?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib pada 25 Julai lalu berkata kepimpinan HARAPAN disifatkannya sebagai "melucukan" dan seolah-olah persembahan boneka Punch and Judy.

Bercakap di Kuala Lumpur perdana menteri berkata barisan kepimpinan HARAPAN tidak mampu memberi keyakinan terhadap ekonomi negara.

Memetik pertikaian antara PKR dan PAS pula, Najib mendakwa pembangkang kini dalam keadaan huru-hara, dan mempersoalkan sama ada kerjasama itu masih wujud di Selangor.

Johari sebaliknya bertanya, tidakkan Najib berasa tercabar kerana struktur kepimpinan HARAPAN begitu kukuh dan bersatu untuk menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Amat memalukan apabila sepanjang pentadbiran Najib, pelbagai isu menghantui rakyat negara ini seperti rasuah, pendidikan yang cacamarba, masyarakat miskin tidak dibela, infrastruktur luar bandar masih ketinggalan dan kenaikan harga barang sukar dikekang.

"Banyak perkara boleh dilakukan bagi memperkenalkan negara di mata dunia tetapi bukan dengan perkara-perkara yang negatif seperti 1MDB," katanya.

Lihat Komen
ADS