Paling Popular
Terkini

Setiap hari antara Isnin hingga Jumaat - kecuali cuti umum - hampir tidak pernah nampak Yusuf Rizqin selesa selepas berpakaian sekolah. Sementara menunggu van tiba, dia biasanya sudah lengkap dengan pakaian seragam.

Sementara menunggu hon van sekolah di depan rumah dia akan menonton televisyen. Tidaklah nampak terseksa, tapi dia jelas tidak selesa.

Dan entah berapa kali dia mengeluh kepanasan. Yusuf Rizqin bersekolah sesi petang. Lazimnya sebelum jam 12.30 tengah hari van sekolah akan sampai. Sesi persekolahan berlangsung dari jam 1.10 petang hingga 6 petang.

Sepanjang tempoh itulah dia - sama seperti kanak-kanak lain di sekolah rendahnya - perlu bertali leher. Tidak dapat dipastikan apakah mereka akan dihukum atau tidak jika gagal menjerut leher masing-masing dalam suasana serba panas dan berlengas itu.

Pada hari lain, sebuah sekolah menengah mengadakan majlis sambutan hari raya. Pada hari istimewa itu pelajar dan guru akan bebas daripada rutin rasmi, seperti mengajar dan belajar.

'Dosa' bawa jeans solat

Biasanya aktiviti yang ada ialah menikmati juadah kuih-muih dan suasana tentu ceria. Pelajar dibenarkan berpakaian baju selain pakaian seragam. Berbaju Melayu memang digalakkan. Jika tidak, bebaslah memilih baju seluar apa dan warna apa.

Kecuali seluar jeans.

Mengapa? Entah. Tidak dapat dipastikan apa dosa kain jeans yang dibuat seluar itu sehingga ia dilarang dipakai waima pada sesi luar akademik.

Ia kira-kira samalah seperti seorang ustaz yang menyindir orang lain bersembahyang berjemaah ketika berseluar jeans. Dia tidak menyatakan rasa tidak suka itu kerana seluar berkenaan koyak atau mungkin mendedahkan aurat, atau terkena najis.

Si ustaz itu cuma tak suka orang bersembahyang berseluar jeans. Mungkin dia memiliki mata kasyaf sehingga terbuka segala hijab sehingga dia memahami jeans - walaupun bersih, kemas dan menutup aurat - adalah tidak wajar dipakai semasa sembahyang.

Pakaian terbaik untuk sembahyang di mata dia ialah kain. Jika tidak barulah seluar. Tapi kalau seluar jeans - jangan!

Kemudian keluarlah lawak "jin" yang kebetulan bunyi sebutannya sama dengan "jeans" dari mulut dia. Ia memang jenaka, cuma jenaka itu sudah diulang-ulang sejak 1970-an dan menjemukan.

Oh ya. Untuk makluman sistem pendidikan sekolah sekarang khabarnya sibuk menekankan peri pentingnya kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Ia terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Apakah KBAT itu? Ayat skema bagi KBAT ialah: "Keupayaan untuk mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu".

Leher wajib dirantai

Entah di mana silapnya sistem pendidikan kita ini. Ketika satu demi satu dasar dirangka, digubal dan dilaksanakan (dibincangkan atau tidak, entahlah, kerana banyak juga amalan "buat dulu baru kaji" dipakai di negara ini), semuanya kedengaran indah-indah belaka.

Semasa peperiksaan, soalan yang ditanya nampaknya wajib dijawab mengikut kehendak pencipta dan penyemak soalan. Pedulilah KBAT atau tidak, murid tidak boleh 'melawan' dengan idea lain.

Justeru kita terjumpa maklumat tular bagaimana soalan matematik yang dipertikaikan ramai kerana jawapan diberi adalah betul, namun dipangkah guru.

Ketika pengkritik mempertikaikan kewajaran guru enggan menerima jawapan pelajar tertentu, ada pula pihak yang bertegas bahawa pertimbangan pemeriksa muklak tepat. Menyanggah keputusan pemeriksa kira-kira sama berdosanya macam menyanggah ayat al-Quran.

Tidak boleh dipertikai, tidak boleh dibantah. Guru adalah sentiasa betul. Khalas.

Itulah. Kita mengharapkan anak-anak sekolah mampu berfikir pada tahap tinggi, tetapi nampaknya neraca mentaakul tinggi atau rendah itu adalah milik guru. Ikut suka gurulah, kan?

Maka kita melihat kanak-kanak sekolah yang lazimnya aktif 'dipaksa' bertali leher seolah-olah kelas mereka dilengkapi penyaman udara sentiasa.

Atau mungkin kita membayangkan cuaca di negara ini seenak musim bunga di kota raya London.

Sekolah adalah tempat yang menekan anak-anak supaya lulus dengan cemerlang dalam akademik. Di mata ibu bapa pelajar seolah-olah berdosa jika mendapat markah rendah.

Kanak-kanak tidak boleh menjadi kanak-kanak. Bermain hanya tidak tabu pada sebahagian kecil waktu. Selebihnya, kita mesti 'merantai' leher mereka dengan pelbagai harapan menggunung.

Tali leher itu salah satu simbol harapan menggunung itulah.

Pada masa sama kita bermusuh dengan istilah yang dimaknakan oleh fahaman yang dangkal dan kadang-kadang lucu. Jauh lebih lucu daripada jenaka "jin" dan "jeans" itu.

'Sembah' lampu isyarat

Kegagalan memahami makna jugalah yang menyebabkan kita jadi keliru kepada banyak perkara. Tiang lampu isyarat di jalan raya, misalnya.

Maka kita boleh melihat bagaimana ada pengguna menganggap lampu isyarat di sesuatu persimpangan sebagai bayangan 'bahaya' yang boleh memerangkap walaupun pada waktu jalan raya lengang dan sepi.

Kerana itu ada sesetengah orang rela menghabiskan masa mentaati lampu merah pada jam 3.45 pagi dalam kawasan perumahan yang sunyi sepi.

Ketika barangkali hantu pun tidak melintas di simpang jalan, sebahagian kita resah menunggu lampu merah bertukar hijau sebelum meneruskan perjalanan.

Semuanya hanya kerana bimbang ada kereta peronda polis sedang menunggu tidak jauh dari situ untuk menghadiahkan saman.

Hakikat bahawa lampu isyarat cuma mekanisme menguruskan lalu-lintas dan penghindar kemalangan sudah lama dilupakan.

Ironinya ramai juga pengguna yang nekad melanggar lampu merah ketika jalan raya sibuk, tetapi bertukar cuak pada waktu sunyi. Ia banyak dipengaruhi oleh kebimbagan kepada saman, bukan kemalangan.

Di atas kertas, mungkin kita boleh mengharapkan keadaan akan berubah dengan adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan KBAT itu.

Tapi melihat kepada bagaimana kejangnya kita menetapkan makna kepada sesuatu dasar, kemungkinan besar 'sumpahan' seperti jerutan merimaskan pada leher anak-anak sekolah masih lama lagi untuk dihapuskan.

Ketika sebahagian kita memberikan takrif keji kepada jeans, malangnya pada masa sama kita mengangkat tali leher sebagai lambang ketinggian status, kemuliaan dan terpuji.

Entah berapa lama lagi anak-anak kita terbiar diseksa dengan makna dan peraturan yang dimaknakan istilahnya secara dangkal.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menjadi pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS