LAPORAN AUDIT l Peranan menteri kewangan mendapatkan kontraktor yang tidak memenuhi syarat untuk pembinaan Hospital Bera ditonjolkan dalam siri pertama Laporan Ketua Audit Negara 2016.
Hospital bernilai RM88 juta yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan kepada 92,000 orang di daerah Bera dan mengurangkan kesesakan di Hospital Temerloh, yang terletak kira-kira 45km, sepatutnya siap pada 9 Januari 2015, tetapi hanya 57 peratus siap pada Disember 2016.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, pada bulan Julai lalu dilaorkan berkata, Hospital Bera hanya dijangka siap pada tahun 2019, selepas kontraktor baru dilantik.
Menurut laporan audit, Maju Jaya Prasarana Sdn Bhd (MJPSB) dilantik sebagai kontraktor pertama hospital, daripada senarai tujuh syarikat yang disediakan oleh Kementerian Kewangan.
Ini di sebalik sekurang-kurangnya tiga amaran yang dibangkitkan oleh JKR bahawa semua tujuh syarikat tidak layak, dan berkali-kali mencadangkan kepada kementerian kewangan supaya tender terbuka dijalankan.
Usaha supaya tender terbuka diadakan untuk projek Hospital Bera bermula dengan keputusan yang bercanggah daripada kementerian kewangan.
Sebagai contoh, kementerian kewangan, semasa mesyuarat jawatankuasa perolehan, bersetuju dengan cadangan JKR untuk tender terbuka untuk pembinaan Hospital Bera, tetapi kemudiannya mengeluarkan arahan yang bertentangan.
“Pada 28 Oktober 2011, terdapat surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PM) kepada Setiausaha BPK MoF yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit PM, memaklumkan mengenai catatan minit oleh YAB PM bertarikh 20 September 2011 yang menyebut ‘bersetuju dibuat tender terhad dan meneruskan penilaian teknikal’.
“Catatan minit tersebut antara sebab yang mendorong MoF memutuskan supaya mengekalkan pelaksanaan tender bagi perolehan projek ini secara tender terhad di kalangan 7 petender yang disenaraikan oleh MoF seperti dalam suratnya kepada JKR pada 21 September 2011,” petik laporan itu.
